Monday, December 19, 2011

Rahsia.........

Arwah banyak meninggalkan catatan tentang dirinya. Catatan-catatan tersebut menjawab persoalan-persoalan yang pernah aku ajukan padanya. Banyak yang mengejutkan. Terima kasih kepada arwah yang menjawab semua persoalan itu yang hanya terjawab sesudah dia tiada. Semasa hayatnya setiap persoalan akan dijawab,"semuanya adalah takdir" Baru-baru ini seorang pelajarnya memberitahu aku pesanan arwah," Apa yang rahsia adalah rahsia. Simpan rahsia untuk menjaga hubungan." Benarlah, banyak rahsia yang arwah simpan untuk menjaga hubungan kami.

Arwah selalu bersama aku di Pusat Sumber kerana aku bertugas di sini. Kami akan makan bersama-sama staf. Staf aku perasaan yang aku tidak memandang muka arwah ketika bercakap dengannya. Mereka juga perasaan aku jarang memandang muka arwah. Baru-baru ini mereka bertanya kenapa aku tidak memandang arwah ketika berbual. Aku memberitahu mereka yang itu adalah permintaan arwah. Mereka tidak berpuas hati dan terus mendesak aku dan aku terus bercerita apa yang selama ini aku boleh lakukan.

Semasa mengajar kerap kali aku akan menegur pelajar-pelajar ku secara spontan. Contoh pelajar A yang sedang termenung. Aku akan beritahu apa yang sedang difikirkannya, malah aku akan beritahu banyak perkara tentang diri pelajar tersebut,keadaan rumahnya, teman lelakinya malah nama teman lelakinya. Sudah tentu pelajar tersebut terkejut biawak kerana aku hanya pensyarah yang baru dikenali. Ada pelajar yang menguji aku seperti bagaimana keadaan rumahnya di kampung. Aku akan terangkan secara terperinci walaupun aku tidak pernah pergi ke rumahnya nun di pedalaman kelantan. Mereka selalu bercerita pada arwah tentang apa yang aku lakukan. Sudah tentu arwah tidak percaya.

Pada satu hari dalam satu ceramah, arwah juga ada bersama, aku menegur seorang peserta yang sedang termenung," Apa yang awak sedang fikirkan ialah, sekejap lagi suami awak akan datang ambil awak. Awak teruja betapa seronoknya tidur di celah ketiak laki awak. Sepatutnya awak tidur di sini bersama- kawan-kawan awak. Saya tau lah yang awak dah lama tak jumpa suami " Peserta tersebut terkejut dan tertunduk malu. Selesai ceramah, dia datang dan bertanya aku bagaimana aku tahu. Itu adalah rahsia!!!!! Sejak hari itu arwah meminta aku supaya tidak memandang tepat ke mukanya kerana tidak mahu diterokai dan dinilai secara telepati.

Catatan-catatan arwah aku bakar supaya tidak dibaca oleh anak-anak. Banyak catatannya bersifat projeksi dan membongkar banyak rahsianya. Catatan-catatan yang menjawab semua persoalan. Semuanya adalah takdir

Wednesday, December 7, 2011

Ulang Tahun Ke 26

7 Disember 1985, aku dinikahkan oleh arwah ayah mertua sendiri pada jam 10.30 pagi. Mulai dari tarikh dan masa tersebut kami sah menjadi suami isteri. Setiap tahun kami akan sambut bersama. Setiap tahun kami akan mengimbas kembali dari detik-detik pernikahan hingga menikmati kemanisan pertama bersama. Pada tahun ini kami merancang untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami di Kucing, Sarawak. Banyak yang kami rancang tidak tercapai. Bulan Mac 2012 kami merancang untuk ke Bandung/ Bali berlima bersama dua orang anak dan bakal menantu. Arwah ditugaskan untuk membuat tempahan. Arwah sentiasa menanti-nanti tawaran tambang murah dari Air Asia. Setiap kali ada tawaran tambang murah arwah akan menelefon aku. Aku minta dia menempah tetapi setiap kali dia akan menjawab, "Nantilah" atau "Lain kali" hingga lah saat-saat sebelum dia dimasukkan ke hospital. Benarlah, orang yang hendak meninggalkan kita sudah tahu. Cuma kita yang tidak sedar tanda-tandanya. Kita hanya sedar selepas kita ditinggal pergi. Tahun ini buat kali pertama aku menyambutnya tanpa arwah. Aku cuma dapat mengenang detik-detik suka duka selama 26 tahun kami bersama. Malam tadi aku hanya dapat menatap gambar-gambar kenangan kami hingga ke pagi. Yang pasti aku kini sentiasa menyibukkan diri aku untuk mengurangkan rasa kehilangan ini.

Thursday, December 1, 2011

Mengenang kembali.....iv

Arwah bukan sahaja menjadi tarikan GP senior dan junior tetapi juga pensyarah. Arwah memberitahu aku mana-mana GP yang cuba berkenalan atau cuba mengoratnya. Salah seorang yang mencuba ialah R. Aku baik dengan R dan seorang senior kerana kami sama-sama dari Muar. Pada satu hari, aku ke rumah sewa arwah bersama Wan Kemut. Sebaik sahaja kami sampai, R juga sampai. Wan Kemut beritahu aku, R mungkin tengah high sebab terbau arak. Aku biarkan arwah melayan R dahulu. Aku nampak R agak tertekan dan sesekali memandang aku. Aku make dono je. Bila R balik, arwah memberitahu R meluahkan rasa hatinya dan sesekali seakan marah-marah kerana arwah layan tak layan je. Aku dengar je. Biasalah...... gentleman..... best man win hehehehe. Arwah menolak R kerana dia dah ada teman lelaki. Aku cuma teman biasa je tapi kawan yang sangat prihatin hahahahah.

Ada seorang pensyarah juga berkenankan arwah untuk dijadikan menantu. Aku sebenarnya tak tahu menahu sebab aku tak kisah sangat. Memang arwah cantik menawan. Dah tentu jadi rebutan. Satu hari, aku masuk ke kelas muzik. Arwah dah berada di dalam kelas. Pensyarah tersebut juga dah tercegat di depan kelas. Sebaik sahaja aku masuk pensyarah tersebut memandang aku dan berkata, " Nor, yang ekau bokawan dongan budak bangang tu buek po?" Semua yang ada dalam kelas memandang aku. Aku macam biasa tersengih macam kerang busuk. Ikut hati mau aku flying kick orang tua ni. Tapi sabar, sabar, sabar be a gentleman. Sejak hari itu ada je salah aku pada pandangan mata pensyarah tersebut. Tak pakai name tag, nama aku kena blacklist dan didenda. Bila tamat masa muzik aku,arwah dan Ida pergi ke kantin untuk makan. Sedang kami makan, seorang pensyarah lain ( kawan pensyarah muzik tu) berdiri di hadapan kami. Tengok aku, arwah dan Ida. "Yani, lopeh ni jumpo den" katanya. Sebaik selesai makan aku pergi berjumpa dengan kawan-kawan lain. Arwah dan Ida pergi berjumpa pensyarah tersebut. Selepas itu aku tak jumpa lagi arwah.

Keesokkan hari, pagi-pagi lagi arwah mencari aku. Dia menceritakan apa yang berlaku semalam. Pensyarah yang hendak berjumpanya menjadi orang tengah kepada pensyarah muzik. Macam-macam dia tanya tentang aku. Arwah selalu mengulang-ulang ayat pensyarah tersebut bila kami mengimbas semula kejadian ini. "Apo bondo yang dio ado? Tak do apo2 pun. Haghapkan buah duo biji yo." Aku tanya arwah kenapa tak jawab, " Buah duo biji tu lah yang den gilo-gilo kan. Buah dio buah mas. Lagi pun dio anak tokeh bas Muar." hahahaha. Arwah memberitahu aku, pada waktu makan tengah hari, arwah terperasan ada seorang lelaki duduk makan bersama dihadapannya. Arwah buat tak kisah. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah anak pensyarah muzik. Anak pensyarah tersebut cuba lah nak berkenalan konon-kononnya tapi arwah cepat-cepat makan dan masuk ke kelas. Pada sebelah petang pensyarah muzik mencari arwah di kelas dan bertanya, " Nor, ekau dah jumpo anak den? Camno bokenan tak?" Arwah jawab, " Yo ko? Den ingat budok sosek mano lak tadi cubo ngorat den. Ghaso-ghaso den, tak mau la sobab omak den dan caghi jodoh den." Tokojut boghuk pensyarah tersebut. "Sapo? Budak bangang
tu ko ?" Arwah menjawab, " Tak lah, sodagho den la kek kampung. Den tak nak do budak bangang tu " Pensyarah muzik tu terus meninggalkan arwah. Frust agaknya. Aku tanya arwah kenapa tak cuba berkawan dulu dengan anak pensyarah tu. Arwah jawab, " Buat pe, dahlah gemuk, hitam longot lak" hahahaha pemilih juga arwah.

Bila kami dah buat keputusan untuk bersama, satu hari, arwah memberi aku sepucuk surat. Surat dari teman lelakinya. Dia benarkan aku membacanya. Aku bertanya apa yang dia fikirkan. Arwah menjawab dia tak tahu apa nak cakap. Aku meminta kebenarannya untuk membalas surat tersebut. Ringkas tapi padat. Aku mengajak teman lelakinya berjumpa untuk berbincang. Aku gentleman beb. Nak berbincang je. Kalau dia betul-betul nakkan arwah, aku akan serahkan padanya tetapi dengan syarat jaga arwah sebagaimana aku menjaganya. Jangan sia-siakan lagi Tapi teman lelakinya tidak memberi apa-apa respon pun.

Pada cuti bulan Nov 1985, aku dari Sabah terus ke Segamat mengambil arwah untuk membeli barang-barang persiapan untuk perkahwinan kami. Cuma tinggal sebulan lagi. Semasa berbual-bual arwah menceritakan teman lelakinya masih mengharapkannya dan memintanya balik semula. Aku dengar je. Arwah menantikan reaksi aku.
Aku seperti biasa- gentleman. Aku minta arwah membuat pilihan, aku atau dia. Mudah jekan. Aku tidak pasti ikhlas atau tidak kerana arwah memilih aku atas alasan," kad dah diedarkan dan semua orang dah tahu. Lagipun majlis tinggal sebulan je lagi." Aku jawab, " Apa nak susah, awak kawin dengan dia, saya kawin dengan perempuan lain. Kawin tetap kawin tapi dengan orang lain la. Ape-ape jadi masa depan nanti lagi susah" Arwah diam je dan tidak ada keputusan. Kami tetap dinikahkan pada 7 Disember 1985.

Bermulalah ranjau kehidupan sebagai suami isteri.......................

Wednesday, November 30, 2011

Mengenang kembali.....iii

Hari ini 1 Disember hari jadi aku. Kebiasaannya subuh-subuh lagi arwah akan memeluk dan menciumku sebagai hadiah hari jadi. Pelukan dan ciuman biasa tetapi amat bermakna pada hari ini. Mulai hari ini semua itu tinggal kenangan yang tidak lagi menjadi kebiasaan kami. Tidak ada sambutan istimewa. Jika hari cuti arwah akan memasak beberapa jenis makanan yang aku suka, rojak darat, daging masak lemak cili padi dan rendang ayam. Kami akan makan bersama. Arwah akan melayan aku sepanjang hari. Banyak masa kami habiskan di bilik kami dan sudah tentu di atas katil. Anak-anak faham keadaan kami. Kami akan duduk bercerita dan mengenang semula kisah-kisah suka duka kami. Kami akan ketawa bila ianya mencuit hati, kami akan mengalir air mata jika ianya menyedihkan kami. Kalau hari berkerja kami akan keluar makan bersama pada waktu malam.

Sebagai seorang ibu dan isteri yang bekerja, arwah akan bangun seawal 4.30 pagi untuk menyediakan sarapan dan memasak untuk makan tengahari. Arwah akan pastikan makan minum anak-anak telah tersedia untuk mereka. Sebaik saja sampai rumah pada waktu petang, arwah akan terus memasak untuk makan malam. Pada hari-hari cuti pula arwah akan bangun selewat-lewatnya 5.30 pagi. Arwah akan membuat sarapan, menghidangkannya. Kebiasaannya kami bersarapan seawal 6.30 pagi. Jam 7.00 pagi kami akan ke pasar membeli ikan dan sayur. Arwah akan mula masak sebaik sahaja pulang dari pasar. Pada masa yang sama arwah akan menyediakan minum pagi jam 10.00 pagi. Arwah akan mempastikan lauk- pauk siap terhidang pada jam 11.30 pagi. Kami akan makan bersama. Kami akan berehat, membaca akhbar dan berbual-bual di bilik kami sehingga jam 3.00 ptg. Anak-anak kerap "mengganggu" kami bila kami berada di dalam bilik terutama sekali anak bongsu. Biasanya kami kalah, keluar melayan anak-anak. Arwah akan ke dapur semula menyediakan minum petang. Waktu petang kami akan berjalan-jalan, pergi ke rumah mak. Yang pasti anak-anak tak mahu ikut sama.

Pada waktu malam kami akan bersama anak-anak hingga jam 9.00 mlm. Arwah akan menyediakan minum malam untuk kami. Anak-anak akan makan sesama mereka. Arwah akan membawa minum malam ke dalam bilik dan kami makan bersama. Sekiranya aku ada kerja di luar, arwah tetap menyediakan minum malam dan meletaknya di meja sisi katil. Arwah akan menunggu aku balik dan melayan aku. Sekiranya aku balik terlalu lewat arwah akan tidur dulu dan arwah tetap menyediakan minum malam. Bila aku balik ke rumah, arwah akan membuka pintu menyambut aku, sediakan air panas yang tentunya kopi O. Sekarang tugas-tugas melayan aku diambil alih oleh anak bongsu kami, Amal. Rupa-rupanya arwah telah mengajar dan melatih Amal untuk menyambut aku balik dan menyediakan apa yang kebiasaannya dilakukan arwah. Cara Amal menyambut, posisi berdiri semasa menanti aku masuk,tak ubah seperti arwah yang setia menunggu aku balik. Arwah telah mengajar Amal cara-cara masak lemak kesukaanku dua minggu sebelum dia pergi.

Arwah telah bersedia untuk pergi. Arwah telah mengajar dan melatih Amal untuk menggantikan tempatnya. 1 Disember tinggal kenangan............

Tuesday, November 29, 2011

Mengenang kembali........ii

Aku mengenali arwah semasa di MPRM, sama-sama mengikuti kursus perguruan. Sebelum masuk ke MPRM aku mohon Library Science di ITM. Rupa-rupanya arwah pun mohon juga. Jodoh pertemuan kami di MPRM. Semasa minggu orientasi aku tak perasan pun arwah tapi kawan serumah ada menyebut mengenainya. Aku masih ingat ayat pertama aku padanya dan ayat pertama arwah membalasnya. Semasa semua GP lelaki dalam perjalanan ke padang, GP perempuan dikehendaki balik ke dewan. Mereka menjalankan aktiviti ragging di padang. Sekarang giliran GP lelaki lak. Semasa turun ke padang dalam barisan, macam banduan, aku berselisih dengannya dan terkeluar ayat pertama dari mulutku, "Peeeeh merahnya muka!" Arwah menjeling, " Menyampah!!!!!!" Aku selalu mengusiknya,"Tulah awak menyampah kat saya. Padan muka awak ikut saya sampai hari ini" Hahahaha. Arwah akan mencubit-cubit aku.

Selepas minggu orientasi, kami dibahagi-bahagikan mengikut unit. arwah sekelas dengan aku. Manakala kawannya sebiliknya Ida dalam unit lain. Arwah bercerita macam mana bencinya kat aku. Aku duduk di belakang.Dia duduk di depan. Satu hari kami dapat assignment. arwah buntu kerana tak tahu mana nak mula. semasa dia bercerita dengan Ida aku terdengar dan menyampuk. Aku mencadangkan beberapa buah buku dan cari di perpustakaan. Arwah minta aku bersama mencari bahan-bahan. Aku pun setuju dan bermulalah hubungan kami sebagai rakan sekelas. Sejak hari itu, kami agak rapat dan arwah sering meminta pendapat aku. Akhirnya arwah mula meluahkan masalah-masalah yang dihadapinya. Sebagai kawan aku memberi pandangan, nasihat dan sokongan moral. Semasa berkawan dengan arwahlah, aku mula berhenti merokok. Syarat berkawan dengannya ialah berhenti merokok. Aku akur.

Pada satu hari aku nampak arwah berjumpa dengan seorang pensyarah yang dikenalinya sambil membawa sampul surat. Bila dia selesai berjumpa pensyarah tersebut aku mengajaknya minum di kantin. Semasa di kantin aku bertanya apa yang dibincangkan dengan pensyarah.Dia memberitahu yang dia akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan kerana sakit perut. Arwah tanya, " Kalau aku masuk hospital, kau datang tengok aku tak?" Aku jawab," Hari-hari aku datang." Memang betul, aku setiap hari aku datang melawat dia tetapi bukan seorang diri. Hari ini aku datang dengan kawan-kawan serumah, esok lusa aku datang dengan kawan-kawan perempuan hingga lah dia keluar hospital. Aku pernah menemani Tipah melawat dia berdua je. Selepas kami berkahwin dia mengimbas semula hari aku datang dengan Tipah. Dia kata pada hari itu dia terasa sangat cemburu bila lihat aku dengan Tipah mesra sangat. Bila aku balik, dia tengok aku dengan Tipah dari tingkat empat sampai hilang dari pandangan. Aku ketawa. Aku tanya dia kenapa nak cemburu sedangkan Tipah ada tunang dan aku dengan arwah hanya kawan. Aku datang melawatnya sebab itu janji aku padanya. Lagipun arwah ada teman lelaki. Dia kata dia tak tahu tapi itulah perasaannya pada masa itu. Selepas arwah keluar kami menjadi lebih rapat. Aku melayannya lebih dari kawan biasa.Aku akan mendahulukannya dalam banyak hal.

Arwah memang diminati oleh ramai GP lelaki baik senior mahupun junior. Dia pernah bertanya aku kenapa dia menjadi perhatian lelaki. Secara ikhlas aku menegur cara dia memainkan matanya. Pandangan dan renungan matanya menyebabkan lelaki terpikat padanya. Ditambah sememangnya arwah cantik.

Mahat kawan serumah aku pernah bertanya aku tentang hubungan aku dengan arwah. aku memang tak ada apa-apa hubungan kecuali sebagai kawan biasa yang perhatin. Rupa-rupanya dia hendak berkenalan dengan arwah dan hendak mengajak arwah keluar. Lu pegi la. Peduli apa aku. Betul, Mahat berjumpa dengan arwah untuk berkenalan. Petang tu Mahat balik kerumah dan, " Tak jadilah , dia orang Negeri Sembilan" Haaaaa hahaha takut dengan orang Negeri. Esoknya, arwah bertanya pandangan aku tentang orang negeri sembilan. Aku beri pandangan ikhlas sebab aku sememangnya banyak membaca tentang adat pepatih, adat temenggong dan adat-adat melayu lain. Dalam hati aku, ini mesti berkait dengan Mahat. Sesekali aku ni nakal juga, Petang tu, ketika aku berbaring di ruang tamu, Mahat dalam biliknya, Saleh juga dalam bilik menyanyi-nyanyi, Wan Kemut terbaring melayan perasaannya, aku jerit pada Saleh, " Saleh, I think I want to stick with Yani this three years la." Saleh membalas," Aku setujuuuuuuuuu!" Aku saja usik Mahat tapi Wan Kemut ambil serius lak beritahu Arwah.

Pagi Isnin,(tarikh aku lupa) arwah menungguku. Pada masa ini kami telah dipisahkan kelas. Aku unit PM2 arwah PMC2. Aku menyapa arwah. Mukanya serius, "I want to discuss something with you." Aku jawab, "Ok no hal but during recess, I got class." Dalam kelas aku tertanya-tanya apa ke bende yang hendak dibincang. Lambat betul masa berlalu. Jeng.....jeng.....jeng......dah sampai waktunya. Waktu rehat kami makan bersama dan duduk berbincang. Arwah menceritakan apa yang Wan Kemut cerita padanya. Kami berbincang dan beebincang dan berbincang dan akhirnya kami dapat kata putus " We try" Sejak hari itu kami belajar memahami hati budi masing-masing sehinggalah aku mencatat sebuah sajak untuknya di atas failnya.

yani
anugerahnya
untuk seorang aku
yang sekian lama
dalam perjalanan
mencari seseorang
yang bernama
kekasih

Maka bermula sebuah percintaan......................................hehehehehehe

Monday, November 28, 2011

Ujian Seorang Menantu

Sebelum menjadi menantu, arwah telah diuji oleh mak. Ujiannya tidak lah susah sangat tetapi mungkin susah bagi sesetengah gadis. Sebelum bertunang, arwah diminta datang ke rumah membantu majlis kenduri. Mudahkan. Tolong je. Menu pun tak lah susah sangat. Ketupat, lodeh, kuah kacang, kari daging,rendang ayam, kuih muih dan rojak darat.Rupa-rupanya arwah ditugaskan untuk menganyam ketupat. Terkejut biawak arwah. Arwah orang Jelabu Negeri Sembilan. Buat lemang pandailah-expert. Nasib baik arwah pernah belajar mengayam ketupat semasa sekolah dahulu. Terkial-kial arwah mengayam. Aku membantu arwah. Alhamdulillah, dalam empat jam siap 200 biji ketupat walaupun sebilangan besar aku yang anyam hehehehe.

Ujian berikutnya ialah membuat kuah kacang. Mak suruh arwah masak sebab aku suka kuah kacang. Sekarang anak lelaki aku Uda suka kuah kacang. Uda dari kecik lagi suka menyudu kuah kacang. Arwah surrender. Memang dia tak tahu. Aku lak tak sempat nak ajar. Nasib baik mak tunjuk dan arwah masak. Ok juga lah. Kuah kacang arwah lebih sedap dari aku masak tetapi tak boleh lawan mak punya. Arwah lulus ujian ini.


Ujian kedua selepas bertunang. Arwah diminta menjahit baju yang diberi sendiri dengan leher dijahit jahitan tulang belut. Mak datukkkkkkkk. Rupa-rupanya enteng je bagi arwah. Arwah boleh memotong dan menjahit baju tapi masalah besar ialah untuk menjahit tulang belut. Arwah tercari-cari kawan-kawannya yang mahir menjahit tulang belut. Allah maha kaya. Ada seorang tukang jahit berdekatan rumah sewanya tahu dan mengajar arwah menjahit tulang belut. Lebih memeranjatkan arwah menjahit keseluruhan baju menggunakan jahitan tangan bukannya mesin jahit. Lulus juga ujian ini. Semasa kami di Sabah, arwah mengambil upah menjahit baju kurung tradisional berleherkan tulang belut. Malah di Sabah arwah belajar menjahit jahitan mata lalat dan karipap.

Ujian ketiga, membaca al quran dan berzanji. Arwah boleh membaca al quran tetapi tidak tahu berzanji. Mak pakar dalam berzanji. Arwah belajar berzanji tetapi tidak begitu mahir berlagu. Walau bagaimanapun arwah telah lulus semua ujian yang diberi oleh mak.

Apa yang menyedihkan arwah dan aku ialah menantu-menantu perempuan lain tidak diuji oleh mak. Terima je. Arwah selalu menyebut tentang perkara ini. Aku selalu menyejukkan hatinya yang arwah buat kerana aku bukan mak. Kerana ujian-ujian tu arwah memberi yang terbaik pada aku dan anak-anak. Arwah mahir kerana sayangkan aku. Aku bangga kerana arwah menjadi isteri hampir sempurna.Menantu yang lain......faham-faham je la.

Arwah suka dan rajin memasak, mengurus rumah dan membaca al Quran. Arwah membaca Quran selepas maghrib. Arwah belajar dan mendalami tajwid al-Quran sekali lagi bila kami balik dari Sabah. Arwah satu-satunya murid tua dalam kalangan anak-anak berusia lima hingga enam tahun. Mula-mula arwah ditertawakan oleh jiran sekeliling tetapi lama-kelamaan menjadi ikutan. Itu yang menyenangkan hati arwah sebab ada juga yang mengikutnya dalam membuat perkara baik.


Arwah juga tidak begitu pandai memasak. Aku banyak mengajarnya. Mula-mula masak nasi menggunakan dapur gas, nasi hangit, kering dan jelantah kerana kurang air. arwah biasa menggunakan dapur kayu. aku tak marah tapi makan apa sahaja yang dihidang. Sedap ke tak sedap ke aku makan je. Aku galakkan arwah belajar masak. Kami masak sama-sama. Aku ajar buat laksa johor, belajar buat laksa penang, buat ayam percik dan macam-macam lagi. Aku suka buat ikan sumbat. Bila aku ajak mak dan adik-adik datang makan, aku akan masak ayam percik dan ikan sumbat. Lama- kelamaan arwah mintak aku ajar masakan tu dan akhirnya arwah yang masak ayam percik dan ikan sumbat bila tetamu datang terutama sekali pelajar-pelajar kami. Sebut apa sahaja lauk yang tetamu nak, arwah akan memasaknya. Arwah pakar masak. Sebut apa sahaja beef stesk, chicken chop, spagetti, pasta, mutabak dan lain-lain. Arwah menjadi pakar kerana kami anak beranak suka makan dan kami tidak mampu nak makan di restoran. Jalan mudah ialah arwah dan aku belajar dan masak sendiri. Puas makan beb.

Arwah seorang yang sangat tabah. Umpat keji orang biasanya diluahkan pada ku dan aku sentiasa menasihatkannya lupakan semua itu. Kita buat yang terbaik untuk orang dan untuk diri kita. Arwah menerima nasihatku dan dia tidak pernah peduli lagi apa orang kata, tidak mengharapkan balasan dari mereka yang pernah ditolongnya. Pada arwah dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia. Aku pasti inilah hasil dari ujian-ujian yang dilaluinya semasa menjadi menantu, menjadi isteri, menjadi guru dan menjadi hamba Allah.

Thursday, November 24, 2011

Merekalah sahabat, merekalah teman II

Arwah berkhidmat di SK Air Tawar 2 selama tujuh bulan sebelum bertukar ke SK Melayu Raya Segamat. Mengapa arwah bertukar sehingga hari ini aku tak tahu apa sebabnya. Di Segamat arwah tinggal menyewa bersama guru-guru bujang. Salah seorang bernama Roszana berasal dari Muar. Mereka menjadi rapat. Kami bernikah pada 7 Dis 1985 manakala Roszana dengan Jailani pada 14 Dis 1985. Hubungan terputus bila arwah mengikut aku ke Sabah mulai April 1986. Terputus terus. Bila bertukar ke Muar pada tahun 1 Nov1990 aku tinggal di Taman Guru, Kesang Laut.

Arwah selalu bercerita tentang Roszana yang kami panggil Roza dan arwah bercadang untuk mencarinya di Segamat.Satu hari, juruteknik telekom datang memasang talian telefon dan arwah bertanya kepada juruteknik tersebut sama ada kenal Jailani. Juruteknik tersebut lebih panjang bercerita tentang Jailani. Akhirnya dia beritahu Jailani telah bertukar ke Muar dan memberi nombor telefonnya. Sebaik sahaja selesai pemasangan talian, arwah terus menelefon Roza dan hubungan yang terputus mekar semula. Mereka menjadi kawan, sahabat dan teman suka duka hingga hari ini.

Banyak peristiwa suka duka bersama Roza dan Jailani. Kami mempunyai bilangan anak yang sama seramai lima orang. Seorang perempuan dan empat lelaki. Kami selalu berjalan bersama, bercuti bersama malah anak-anakmereka seperti anak-anak kami. Kami boleh marah, herdik anak-anak mereka dan sebaliknya. Mereka biasa tidur di rumah kami.

Kami pernah menjaga Roza anak-beranak semasa Jailani bertugas di Kuala Lumpur selama dua tahun. Setiap petang kami akan bersiar-siar di Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang. Sering makan malam bersama. Pernah satu hari, ketika bersiar-siar di Tanjung Ketapang aku bermain dengan anak-anak seramai lapan orang ketika itu. Sementara arwah dan Roza duduk dibangku berbual-bual. Anak perempuan Roza memanggil aku abah. Hingga sekarang dia manja dengan kami. Kemesraan arwah dan Roza, kemesraan aku bermain, bergurau dengan anak-anak menarik perhatian sepasang suami isteri cina. Sekian lama memerhati, mereka menghampiri arwah dan Roza. Peringkat awal mereka berbual-bual biasa sahaja tetapi si isteri cina tu tak lepas memandang ke arah aku. Akhirnya si isteri bertanya
Si isteri : Itu lelaki siapa?
Arwah : Saya punya laki.
Si Isteri : Itu budak-budak?
Arwah : Anak-anak lah.
Si isteri : Manyak lah. Awak punya anak ka?
Arwah : Haa lapan orang.
Si isteri : Ini siapa? Kawan?
Arwah : Bukan. Dia punya isteri (menunjuk ke arah aku)
Si isteri : Awak dua-dua isteri? Banyak baik. Tak da gaduh-gaduh?
Arwah : Ye la. Nak gaduh apa bikin. Dia baik, saya baik, laki pun baik.Hidup sama-sama la.
Si isteri : Itu macam ka. Manyak bagus la.
Arwah : Memang bagus ma. Buat kerja sama-sama, makan sama-sama. Tidur lain-lain. Tak bole sama.

Bila pasangan cina tu pergi, arwah dan Roza ketawa terbahak-bahak. Meleleh airmata ketawa bila bercerita pada aku. Cuma aku yang boleh membawa, menghantar Roza dan Jailani tak cemburu dan begitu sebaliknya. Semasa aku berkursus selama empat bulan Jailani lah mengambil dan menghantar arwah ke pusat peperiksaan kerana pada masa itu arwah belum memiliki lesen memandu lagi. Setiap pagi sarapan bersama hingga menimbulkan tandatanya dalam kalangan kawan-kawan Jailani.

Sebaik sahaja arwah ditahan wad, arwah telah sms memberitahu Roza. Dia sms berkali-kali meminta Roza datang segera. Setiap kali Roza dan Jailani datang tahap oksigen stabil di paras 95%. Roza dan Jailani adalah orang yang menemani semasa arwah terbujur di ruang rumah.

Semua tinggal kenangan. Roza dan Jailani bercadang membawa Amal anak bongsu kami bercuti bersama mereka ke Indonesia. Anak sulung kami sebaya dan anak bongsu kami juga sebaya. Mereka tak mahu Amal berasa terlalu sedih dengan kehilangan arwah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin