Thursday, August 22, 2013

CERITA BUAH DURIAN



Sekarang musim buah durian. Durian banyak meninggalkan kenangan pada aku, arwah dan anak-anak ku. Durian menjadikan aku dan arwah terus-terusan berusaha untuk mencari harta sendiri.

Aku ingat lagi sekitar tahun 1991, aku dan arwah baru dapat bertukar dari Sabah. Aku tinggal di rumah sendiri di Kesang Laut. Pada awal baru balik dari Sabah kehidupan kami agak susah tetapi kami lalui bersama-sama dengan cekal. Anak-anak kami, along berumur 4 tahun, angah 3 tahun dan uda 2 tahun. 

Musim durian tahun itu, peluang bagi aku untuk memperkenalkan durian pada anak-anak ku. Arwah abah ada dusun buah-buahan. Dusun tersebut di pertengahan perjalanan aku ke sekolah. Pada satu hari, bila durian dah gagat gugur aku pun mengajak keluarga ku singgah di kebun pada waktu pagi kira-kira jam 6.30 pagi sebelum ke sekolah. Dapat lah aku kutip dalam tiga biji durian di bawah pokok paling dekat dengan jalanraya. Tengah hari aku singgah ke rumah mak dan memberitahu aku ambil 3 biji durian untuk anak-anak  aku rasa.

Rupa-rupanya, tindakan aku tu tak disenangi oleh makku.  Aku masih ingat apa yang dia kata," Laaa kan  buah tu Onn yang nak jual." Esok pagi, dalam perjalanan ke sekolah, aku lihat adik ku dah ada di dusun mengutip  durian.  Melelah air mata arwah bila tengoh keadaan ini. Sejak hari itu aku tidak lagi ambil durian di dusun. Bila hujung minggu aku ke rumah keluarga ku, arwah abah suruh aku kutip dan ambil durian di dusun bila balik sekolah 

 Aku akur dan aku singgah di dusun dan kutip durian dan kumpulkan di bawah rumah arwah mak ngah. Setelah aku kumpul aku bawa balik buah durian yang ditebuk tupai  untuk anak-anak ku. Yang elok aku tinggalkan untuk dijual.  Itu yang aku lakukan setiap hari.

Rupa-rupanya, perbuatan ku itu,disedari oleh arwah Mak Ngah. Dia bertanya kenapa aku ambil buah ditebuk tupai. Aku katakan yang buah-buah yang elok nak dijual. Arwah abah mintak tolong aku kutip dan jadi  mana yang tak boleh dijual aku ambil. Arwah Mak Ngah memberitahu arwah abah.  Mulai hari tu, arwah abah akan mengasingkan durian yang elok untuk aku. Aku terharu kerana arwah abah buat begitu berlawanan dengan mak. 

Peristiwa ini menjadikan aku dan arwah isteri bertekad untuk memiliki dusun sendiri dan tidak akan mengambil apa pun harta peninggalan arwah abah. Bila abah meninggal, aku tak ambil pun bahagian aku dan aku serahkan semuanya pada adik-adikku. Kami membeli tanah pada tahun 1995, membina rumah tahun 1996. Kami tanam pokok buah-buahan supaya bukan sahaja untuk makan sendiri tetapi juga boleh dibahagi-bahagikan kepada kawan-kawan. Ini dah dapat ditunaikan. 

Selepas abah meninggal, dan pusaka telah aku lepaskan, aku bertekad tidak akan mengambil durian di dusun "mereka'. Aku beli sebiji dua durian bila anak-anak kepingin nak makan. Satu ketika, akan-anak merengek nak makan durian. Aku dan arwah beli durian siam yang banyak dijual di tepi jalan. Aku beli 3 biji. Aku kopek,anak-anak ku teruja bila nampak ulas yang besar dan makan dengan lahap tetapi selepas makan beberapa ulas, mereka berhenti-mungkin kekenyangan. Puas hati aku dan arwah bila tengok anak-anak tergolek kekenyangan. Satu hikmah dari peristiwa ini, anak-anakku semakin kurang makan durian dan bila dah ada dusun sendiri, mereka tak gemar makan durian.  Malah buah durian yang ada  dimakan oleh monyet-monyet. Buah pulasan, rambutan, nangka, ciku dan mangga semuanya jadi makanan monyet-monyet yang habitatnya dirosakkan oleh manusia.




Tuesday, August 20, 2013

TAK TERKELUAR KATA-KATA.....SAAT-SAAT AKHIR BERSAMA ARWAH.....

Selama 25 tahun bersama arwah, segala saat suka dan duka, susah dan senang  diharungi bersama. Pemergian arwah membuat aku  terasa masa 25 tahun terlalu cepat berlalu. Walaupun di saat-saat akhir bersama arwah telah menunjukkan tanda-tanda akan pergi, namun tak ada kata-kata yang terkeluar untuk menafikannya, semuanya terpendam di dalam hati. Sayu bila melihat arwah sedikit demi sedikit menunjukkan  akan pergi meninggalkan aku. Aku pujuk hati dan menafikan segala-galanya. Bukan sekali aku menghadap orang meninggal. Banyak tanda-tanda yang aku dapat kesan sepanjang saat-saat akhir arwah bersama aku.

Seminggu sebelum arwah dimasukkan wad, arwah duduk di kerusi malas memandang aku penuh sayu, "Bang, saya dah tak dapat nak layan abang seperti selalu. Abang kawin la. saya uruskan semua." Terpaku aku. Tak terkeluar kata-kata. Lama aku terdiam. Akhirnya " Selama ini saya tak pernah komplen, bersungut tentang layanan awak. Kan saya dah janji, saya akan jaga awak sampai saya mati. Kasih sayang saya tak pernah berubah dari mula kita kenal sampai sekarang."

Hari terakhir 23 Oktober 2011 bersama arwah, satu permintaan, satu penyataan, satu wasiat dan satu pertanyaan dari arwah. Pagi  itu aku duduk disininya. satu permintaan, "Sok abang jangan pergi mana-mana. Tak yah pegi mesyuarat. Tunggu saya." Tak terkeluar kata-kata......aku angguk je. Hati aku sayu dan kesayuan itu aku pendam dalam hati. Aku urut, peluk arwah. Tengahari,selepas kawan-kawan yang melawat balik, arwah duduk  memandang sayu, satu penyataan, "Saya sayang abang,........ sayang abang.... sayang abang." Tak terkeluar kata-kata.......aku angguk je. Aku hiba sangat dan aku pendam kehibaan itu dalam hati. Petang itu, arwah panggil aku duduk disebelahnya, satu wasiat " Duit pencen saya nanti, beri PakTam RM500 tiap bulan ye." Tak terkeluar kata-kata.....pilu hatiku dan aku pendam kepiluan dalam hati. Malam itu, sekembali aku dari solat maghrib, satu pertanyaan "Nape abang lambat ni, saya nak baring ye." Tak terkeluar kata-kata...... rasa nak meraung aku dan aku meraung dalam hati. Sebelum Isyak, arwah tiba-tiba bangun mengadu sakit, membetulkan duduknya, menjulurkan kaki, menahan tangan ke belakang dan bersedia untuk...........arwah terlentuk dalam pelukan ku. Selepas azan, arwah disahkan telah meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Aku rindu arwah.

HARI RAYA KALI KE DUA-----

Hari ini aku sambut Hari Raya kali kedua selepas habis berpuasa sunat 6 hari bulan Syawal. Kali ni aku sambut sorang-sorang je sebab arwah dah tak de. Tapi semalam berbincang nak makan apa untuk sambut raya ni, mek- pembantu aku mencadangkan makan piza. Kalau makan piza dia tak puasa hari ini. Dia tambah lagi kalau makan ais krim dengan roti  lagi best. Hahahaha dia yang nak makan piza, aku yang nak sambut hari raya  jadi mangsa. Aku tak beli piza tapi aku cadang nak makan nasi kerabu. Dia orait je. Jadi pagi ni sampai je pejabat, aku pergi ke gerai yang jual nasi kerabu. Jeng,jeng,jeng tak bukak pulak. Sekali lagi macam nak makan masak asam pedas ikan parang, aku tak dapat makan nasi kerabu sedangkan dah menjejis air liur nak makan. Aku beli nasi lemak, tambah ayam goreng untuk makan dengan  rakan sepejabat. Saliros lak puasa hari ni.


Kalau arwah masih ada, dah tentu kami akan masak ketupat , rendang, lodeh dan sambal kacang sama seperti sambut Hari Raya 1 Syawal. Tapi semua ni dah tinggal kenangan. Aku tak dapat nak kembalikan suasana ini  bersama dengan "orang lain"- suasana tidak akan sama.. Kenangan hanya indah untuk dikenangdan acapkali mengusik jiwa. Aku rindu arwah

Sunday, August 18, 2013

PUKUL 3 PAGI.........TIDUR LA WAHAI MATA.........


Sejak akhir-akhir ini 
aku sering terjaga jam 3 pagi. 
Bila terjaga aku dah tak boleh tidur lagi.
Puas cuba pejamkan mata tapi tak tidur-tidur juga
Mengapa ye?
Arwah kira-kira sebulan sebelum meninggalkan aku, 
juga akan terjaga setiap jam 3 pagi
Aku pura-pura tidur,
sesekali membuka mata memerhatikan apa yang dibuatnya.
Arwah akan solat, baca al-Quran, sapu sampah, gosok baju, kemas bilik.
Dalam bidang psikologi, ini salah satu simptom kemurungan.
Arwah abah juga begini
 dan tahap paling  kritikal, 
arwah tidak tidur sebelum pemergiannya.
Aku mengalami kemurungan ke?
Atau
Aku diberi ingatan
 supaya bangun bertahajud, bertasbih dan berzikir 
kerana aku sudah hampir ke penghujung hidup
Pukul 3 pagi........

IKAN PARANG ...KAT MANA KAU SEMBUNYI, LAKSA JUA YANG JADI


Pagi-pagi lagi aku ke pasar tani mencari ikan parang untuk dimasak asam pedas tapi tak de. dah nasib badan, nak buat camne.  Di manakah dikau ikan parang, kenapa kau tak muncul-muncul. Pusing pasar tani tiga kali akhirnya sambar ikan kembung, daun kesum, bunga kantan, taugeh,santan,belacan, cili padi dan laksa- Jom kita buat laksa Johor untuk santapan hari ini.
Laksa Johor aku dan arwah belajar buat  semasa di Semporna, Sabah. Sebelum ni dah biasa buat laksa asam atau laksa penang .Bukan saja laksa yang dibuat, tetapi kami belajar camne nak buat mee laksa. 
Mesin untuk buat mee laksa, aku kirim kawan aku dari kedah. Masa tu tak mahal, kalau tak silap RM15 je satu. Diperbuat dari tembaga. Tapi hilang "diambil" pekerja kontrak yang buat bilik tambahan rumah aku.  Banyak perkara yang kami belajar semasa di Semporna Sabah. Buat mee kuning, buat serunding daging, buat lempuk durian malah sate pun aku belajar buat. Semua ni terpaksa belajar sebab nak makan. Kalau di Semenanjung, berlambak dijual di gerai-gerai di tepi jalan.

Balik dari pasar tani aku bertungkus lumus membuat laksa Johor untuk pertama kali buat seorang diri. Sedap dimakan tapi rumit nak buat. Ikan kena rebus, lepas tu dimesin, di tapis untuk asingkan tulang-tulang, nak buat sambal belacan, nak sediakan mee laksa, nak buang ekor taugeh.  Dua jam baru siap masak. Anak-anak tak sabar nak makan dan  yang penting, anak-anak kata "Pehhhh sedap lah bah- macam mak buat" dan seorang staf aku yang dapat beraya petang tu kata "Ada rasa laksa" Berjaya juga aku buat laksa. Aku janji kat dia, aku akan buat lagi laksa dan bawak ke pejabat bila semua dah selesai berpuasa sunat syawal. Upah dari bos untuk anak buah. Aku tinggal sehari je lagi. 

Masak asam pedas ikan parang yang diidam, laksa Johor lak yang jadi.............






Saturday, August 17, 2013

IKAN PARANG O IKAN PARANG

Ada satu si ikan parang
Badannya panjang berbelang-belang
sedap dimakan dimasak pindang
lebih sedap kalau goreng saja

Ikan parang oooo ikan parang. Hari ini di pasar Tangkak tak de ikan parang, di pasar Jasin pun tak de, pergi ke Sempang Pantai kok ada ikan segar baru naik tapi hampa tak de juga. Dah rancang nak masak asam pedas ikan parang. Tiga hari terliur, ikan parang lak tak de hari ni. Daun kesum dah tersedia, lada kering dah dikisar, bawang;kunyit dan halia dah dikisar, cuma ikan parang je tak de.

Ikan parang ooooo ikan parang, di manakah dikau. Harap-harap esok adalah ikan parang di pasar tani.

Ikan parang ooooo ikan parang

Thursday, August 15, 2013

RUMAH TERBUKA KAT PEJABAT

Kali terakhir aku buat rumah terbuka pada 24 Sept 2011 iaitu kira-kira sebulan sebelum arwah isteri meninggalkan aku buat selama-lamanya. Sejak itu aku tak teruja nak buat rumah terbuka. Tahun ni tergerak lak nak buat.Nak ajak kawan-kawan tapi tiba-tiba lak rasa tak nak.

Semalam semasa berbual-bual dengan Mek,tercetus lagi rasa nak buat rumah terbuka tapi kali ni aku buat kat pejabat. Mek cadangkan aku masa ketupat, kuah kacang, rendang dan dia kan bawak kuih. Ok seeettttt. Jadi hari ini,Jumaat aku buat. 
 
Selepas berbuka semalam, aku terus mula memasak, pertama sekali aku masak kuah kacang. Aku tumis bahan-bahan dan sejam kemudian siaplah kuah kacang. Dalam masa yang sama aku siapkan bahan-bahan untuk buat rendang. Goreng kelapa untuk dijadikan kerisik. Nasib baik lah blender ada tak lah penat nak buat kerisik macam mula-mula aku belajar buat kerisik dalam tahun 70an dulu.

Siap buat kuah kacang aku mula menumis bahan-bahan untuk membuat rendang. Leceh buat rendang ni tapi seronok buatnya. Aku buat rendang nyonya-rendang yang arwah nak sangat belajar buat tapi tak kesampaian. sekarang aku lebih suka buat rendang nyonya sebab ia akan mengingatkan aku pada arwah. Dua jam melayan rendang.Dah jam 10 malam. Sebaik saja siap rendang, mula rebus ketupat dan segalannya selesai jam 11.00 mlm. Siap mandi aku tidur sebab jam 4.00 pagi aku nak goreng mee hoon singapore lak.
 Jam 4.00pg aku bangun, panaskan rendang dan kuah kacang sambil siapkan bahan-bahan untuk  goreng  mee hoon. Jam 5.00 pagi siap mee hoon goreng singapore. Memang betullah kata P. Ramlee ' Tukang masa kerjanya enteng" Dah siap masak, kena kemas dapuer. Beressssssss.

Masa ada lebih kurang 1 jam lagi masuk subuh, yeeaaahhh, basuh baju. Masukkan baju dalam mesin basuh semestinya satu jam siap. Boleh sapu sampah dan kemas rumah. Azan berkumandang, mandi dan solat subuh. selesai solat sidai baju dan bersiap ke pejabat. anakku Amal nak ikut lak. Boleh juga dia tolong aku siapkan makanan kat pejabat nanti.


Jam 7.30 pagi sampai pejabat, siapkan hidangan dan pergi order sate. Sampai je staff, mereka buat air dan jam 8.30 pagi kami mula makan . Staff kata "Sedapppppp bos masak" Hehehehe. Puas hati aku bila dapat jamu staf makan dengan masakan air tangan sendiri kecuali sate. 

Aku tidak pernah berasa susah untuk menyediakan semua ini kerana aku dan arwah biasa masak untuk kawan-kawan. Bangun pagi seawal jam 4.00 pagi juga adalah rutin kami. Dan kebiasaan ini aku teruskan hingga hari ini cuma, sekarang ini aku lakukan seorang diri. Kadang-kadang aku rindu untuk buat bersama-sama arwah dan kadang-kadang aku meminta "bantuan arwah"  menghulur itu ini tanpa aku sedari kerana kebiasaan kami kerja bersama-sama. Pernah anak-anak tegur aku,sebab aku bercakap sorang-sorang kata mereka. Memasak dan membuat kerja-kerja rumah kami buat bersama-sama. Kenangan bersama-sama arwah sentiasa menghambat aku. Aku rindukan arwah


Wednesday, August 14, 2013

NASIB BAIK TAK KEMPUNAN

Semalam aku teringin nak makan masak asam pedas ikan parang. Balik dari kerja, aku terus pergi pasar malam di Taman Muhibbah untuk beli kan parang tapi malangnya penjual ikan masih berhari raya. Gerai laksa,gerai rojak pun tak berniaga. Sepanjang perjalanan tadi terliur bila terbayang berbuka puasa lauk asam pedas ikan parang. Puasa sunat Syawal. Pehhhhh kecewa betul rasa hati nak masak asam pedas ikan parang.
Ligat otak aku berfikir nak masak apa untuk berbuka. . Teringat ada udang dalam peti ais. Boleh buat sambal udang. Bergegas aku ke kereta. Masa tinggal 1 jam lagi waktu berbuka. Tiba-tiba aku terpandang orang menjual petai. Cepat-cepat beli petai. Boleh masak sambal udang dengan petai. Mesti best berbuka. 
Sampai di rumah, aku terus memasak sambal udang campur petai dan buat jus kurma. Selesai je masak, Amal mula terliur dan tak sabar-sabar nak makan. tapi disebabkan belum waktu berbuka dia tahankan niatnya untuk makan. Sebaik saja azan, dia yang terlebih dulu makan dari aku. "Pehhhh sedapnya sambal yang abah masak- macam mak buat." katanya. Hehehehehe terlambung-lambung rasanya kena puji. Malam itu, sambal udang 1 kilo campur petai habis licin. Aku puas hati walaupun tak dapat makan masak asam pedas ikan parang. Hari sabtu aku akan masak dan makan sampai puas.

Tuesday, August 13, 2013

SYAWAL INI- 2013....
Tahun ini, kali kedua aku dan anak-anak ku beraya tanpa arwah isteri. Walaupun anak-anak nampak riang tetapi riak kesedihan  tersingkap juga. Anak-anak lelaki bertambah sedih bila along bukan sahaja tidak beraya bersama-sama kali ini tetapi tidak dapat dihubungi dan tidak ketahuan ke mana dia pergi. Mereka SMS,telefon tetapi tak berjawab. Bila pergi ke rumah atuk mereka, tak tahu nak jawab bila atuk, mak-mak saudara bertanya di mana along. Semua tak tahu nak jawab apa. Aku cuma jawab, mungkin dia di somalia.

Semasa arwah ada, dia selalu membayangkan suasana yang ceria bersama anak-anak dan cucu-cucu. Syukur juga dia pergi dahulu, tak hadapi suasana ini. kalau arwah ada tentu remuk hati dia, along ntah kat mana tanpa khabar berita. 

Aku selalu mengingatkan arwah, jangan terlalu mengimpikan yang indah-indah  dan jangan terlalu mengharapkan anak-anak akan menjaga kita. Seorang demi seorang anak akan meninggalkan kita bila mereka berkeluarga. Mereka akan sibuk dengan keluarga sendiri dan akan "terlupa" kewujudan kita. Sekarang aku sentiasa mengingatkan diri aku sendiri, supaya tidak mengimpikan yang indah-indah bersama-sama dengan anak-anak. Aku perlu menjaga diri dan bersedia untuk hidup sendiiri...dan bila aku bersara nanti....seperti yang dirancang bersama arwah, aku dan arwah  akan "mengembara" bersama kenangan.


ASAM PEDAS IKAN PARANG.....
Hari ni aku teringin makan masak asam pedas ikan parang. Aku boleh beli, aku boleh masak sendiri tetapi  hari ini aku nak makan masak asam pedas ikan parang arwah isteri aku. Aku rasa rindu sangat nak makan masakan dia. Mula-mula kahwin dia tak pandai masak, tapi dia rajin belajar dan rajin memasak . Aku makan walaupun masakannya tak sedap, terlebih garam, terkurang asam atau tak dimasuknya daun kesum. Arwah selalu tanya, "sedap tak".  Aku akan jawab sedap tapi  aku beritahu apa yang terlebih apa yang terkurang.dan aku tetap  makan dan aku tak kisah sebab yang masak tu dia-isteri aku. Arwah tak pernah kecik hari, tarik muka  bila kau komen apa yang dia masak tapi dia belajar dan mencuba untuk masak ikut selera aku. Aku boleh masak sendiri masak asam pedas ikan parang tapi aku tak dapat rasa apa yang arwah isteri ku masak walaupun anak-anak aku kata rasanya sama dengan arwah masak.Cuma hari ini aku rindu nak makan masakan air tangan dia. 



Hari ini hari rabu, ada pasar malam kat tempat aku, mungkin bila balik nanti aku  cari ikan parang dan masak asam pedas  ikan parang. Tapi hari ini seperti hampir dua tahun lalu aku makan masak asam ikan parang sendirian tanpa arwah isteri yang sebelum ini sentiasa menemani aku bila makan. Aku rindu arwah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin