Wednesday, December 7, 2011

Ulang Tahun Ke 26

7 Disember 1985, aku dinikahkan oleh arwah ayah mertua sendiri pada jam 10.30 pagi. Mulai dari tarikh dan masa tersebut kami sah menjadi suami isteri. Setiap tahun kami akan sambut bersama. Setiap tahun kami akan mengimbas kembali dari detik-detik pernikahan hingga menikmati kemanisan pertama bersama. Pada tahun ini kami merancang untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami di Kucing, Sarawak. Banyak yang kami rancang tidak tercapai. Bulan Mac 2012 kami merancang untuk ke Bandung/ Bali berlima bersama dua orang anak dan bakal menantu. Arwah ditugaskan untuk membuat tempahan. Arwah sentiasa menanti-nanti tawaran tambang murah dari Air Asia. Setiap kali ada tawaran tambang murah arwah akan menelefon aku. Aku minta dia menempah tetapi setiap kali dia akan menjawab, "Nantilah" atau "Lain kali" hingga lah saat-saat sebelum dia dimasukkan ke hospital. Benarlah, orang yang hendak meninggalkan kita sudah tahu. Cuma kita yang tidak sedar tanda-tandanya. Kita hanya sedar selepas kita ditinggal pergi. Tahun ini buat kali pertama aku menyambutnya tanpa arwah. Aku cuma dapat mengenang detik-detik suka duka selama 26 tahun kami bersama. Malam tadi aku hanya dapat menatap gambar-gambar kenangan kami hingga ke pagi. Yang pasti aku kini sentiasa menyibukkan diri aku untuk mengurangkan rasa kehilangan ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin