Wednesday, January 15, 2014

CERITA SEORANG KAWAN V

Membaca sajak-sajak Rawana menimbulkan banyak persoalan. Kata Rawana sajak-sajaknya adalah sebahagian catatan pengalaman  hidupnya. Rawana namakan  antologi sajak-sajaknya “SEGALANYA ADA LAH RASA”  salah satu tajuk  sajaknya yang di tulis semasa di Mekah.. Antologi sajak ini terbahagi tiga bahagian. Bahagian pertama sajak-sajak untuk tunang dan isterinya, bahagian dua sajak-sajak dirinya yang agak misteri- yang akan aku ulas kemudian berdasarkan cerita-cerita Rawana, bahagian ketiga adalah sajak-sajak berkisar kekecawaan hatinya bila mengetahui apa yang dilakukan oleh isterinya.

Aku tertarik dengan dua sajak Kita Hanya Kawan i dan ii. Aku sakat Rawana, “ Ni mesti perempuan jatuh hati kat lu. Cecite sikit”. Rawana ketawa, “Bro. hari ni wa cerite, lu dengar, lu simpan sebab lepas ni kite tak jumpe lagi tau.Lu simpan itu sajak, jangan publish. Tu untuk lu. Bila lu ingat wa,lu baca,gerenti meleleh air hingus lu hahahaha.” Itu lah Rawana yang tak abis-abis dengan guraunya.

Awal tahun 90an, Rawana menghadiri kursus selama 4 bulan di Kuala Lumpur. Dia pergi ke KL menaiki kapcai je. Sebelum subuh hari Isnin bergerak dari rumahnya ke tempat kursus, selepas asar hari Jumaat dia akan bertolak balik dari KL ke rumahnya setiap minggu. Di tempat kursus dia digelar professor sebab konon-kononnya banyak ilmu dan petah berdebat. Penceramah pun panggil dia prof. Sepanjang kursus, makan minum tidak disediakan tetapi makan minum Rawana dibayar oleh kawan-kawan sekursus dan penceramah. Bila dia nak bayar, ada saja yang nak belanja. Sebenarnya sepanjang hidupnya, Rawana suka belanja orang makan. Mungkin sepanjang kursus itu, kebaikannya mendapat balasan.

Berbalik kepada cerita sajak tadi. Ada seorang peserta kursus seorang perempuan yang aku namakan Sara sangat suka merenung Rawana yang tak hensem tu. Rawana tanya Sara,”Awak asyik renung saya, nape?”  Sara terkejut, “Saje je. Suka tengok awak. Happy je.” Rawana sengih. Satu hari, Sara mendapat berita ayahnya sakit. Kelam kabut Sara. Rawana apa lagi, menawar diri menghantar Sara dengan kapcainya ke Puduraya yang mengikut kiraanya paling lama stengah jam sampai. Kalau naik teksi atau kereta paling cepat 45 minit. Bedezup Rawana bawak motor. Sejak itu mereka menjadi rapat macam sepasang kekasih.

Sara seorang anak dara yang sudah bertunang dan akan berkahwin bulan disember tahun itu. Keakraban Sara dan Rawana jadi gurauan rakan-rakan sekursus. Sara selalu menjawab, “Kita hanya kawan” Memang benar, mereka hanya berkawan. Istilah sekarang teman tapi mesra. Rawana selalu bawa Sara ke Pasar Seni melihat persembahan Imuda, Sabri Yunus dan rakan-rakan atau ke  Dewan DBKL menikmati puisi dan lagu-lagu puisi dan MATIC menonton teater menaiki kapcainya.

Sara selalu meluahkan perasaan gundah dan resahnya pada Rawana. Bila menangis dan hiba, dia akan menangis di bahu Rawana.Sara selalu bertanya tentang keluarga Rawana. Tentang keluarga Rawana tidak pernah merahsiakannya. Tidak ada rahsia antara mereka.


Pada hari terakhir kursus mereka keluar untuk kali terakhir. Rawana membawa Sara duduk di bukit menghadap Istana Negara melihat gelagat pelancong yang datang sambil bercerita, bergurau dan bersenda, usik mengusik. Rawana membawa Sara makan malam di Restoran Melayu di Titiwangsa. Makan malam terakhir mereka. Selesai makan Rawana menghantar Sara balik ke rumah dan menghantar Sara hingga ke pintu rumahnya. Tak disangka-sangka Sara memeluk Rawana, “ Terima kasih menemani saya sepanjang masa ini, menggembirakan saya dan mengajar saya erti kasih sayang. Awak terlalu baik buat saya. Terima kasih” Rawana terkedu tak terkata apa-apa. Sejak malam itu, semuanya tinggal kenangan bagi Rawana. Cume sesekali Sara mengutus surat dan kad jemputan  perkahwinannya. Dua sajak “Kita Hanya Kawan i” adalah catatan kenangan Rawana bersama Sara, sajak “Kita Hanya Kawan ii” adalah pengakhiran hubungan mereka. Rawana telah melagukan sajak “kita Hanya Kawan ii” dihadapan ku. Tak sedap langsung suaranya. Aku perasaan Rawana menyeka air matanya. Kenapa? Aku tak pasti……..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin