Aku menjalani rawatan radioterapi di hospital. 12 pusingan dan terpaksa menginap di hospital kerana jauh untuk berulang-alik setiap hari. Hakikatnya rawatan hanya 10-15 minit setiap hari tapi aku pasrah untuk menimba pengalaman di wad onkologi.
Setiap hari, jam 7 pagi aku akan menandatangani borang keluar wad untuk 30 minit kerana keluar ke cafe membeli sarapan pagi untuk ku dan pesakit sewad dengan ku. Yang paling penting membeli surat khabar. Habis semua jenis surat khabar aku beli untuk menghilangkan kebosanan di wad. Kadang2 aku membeli buku.
Namun sebelum menjelang petang, semua bahan bacaan ku habis dibaca.Apa kerja aku selanjutnya? Aku merayau2 ke wad2 lain di tingkat onkologi. Mencari pengalaman berbual dengan pesakit lain yang mengidap pelbagai jenis penyakit kanser.Di kalangan pesakit ini ada yang sangat kuat semangat juangnya. Tapi..tak kurang yang mengaku kalah sebelum berjuang.Nampak sangat parah hakikatnya baru stage1 / stage2.Aku gunakan kemahiran kaunseling yang aku ada, untuk meneroka perasaan, harapan dan kenapa mereka sedemikian.Sedangkan aku sekarang berada di stage4.
Akhirnya dapatlah aku simpulkan pengetahuan tentang penyakit yang dihidapi tidak mendalamm, doktor tidak memberikan penerangan yang jelas tentang sakit, rawatan dan bagaimana pesakit berhadapan dengan penyakit tersebut, kaum keluarga dan kawan2 yang terlalu berlagak pandai dan berilmu menyampaikan pelbagai petua yang kadangkala menakutkan dan menyeksa pesakit dan yang penting doktor yang tidak langsung menggunakan psikologi untuk menyampaikan berita kepada pesakit.
Aku lalui situasi ini dengan jelas.Perhatikan apa kata doktor bila aku tanya apa kondusi aku setakat ini? Kata doktor: Now u are in stage4.No cure.U r competing with ur time.What ever u want to do, lets do it. Rawatan yang kami beri hanya percubaan untuk panjangkan hayat u.
Bayangkan jika orang yang mendengar itu, tidak kuat emosinya, tidak ada pengetahuan kaunseling untuk dia melayan emosinya, apa akan jadi? Sudah tentulah seperti pesakit yang saya temui di wad lain. Inilah hakikatnya tinggal di hospital. Mati bukan kerana sakit, tapi kalah emosi di dera oleh para doktor secara psikologi.
Alhamdulillah sepanjang 12 hari aku di wad, dapatlah aku memotivasikan 5 orang pesakit pelbagai jenis kanser dan pelbagai stage untuk terus berjuang dan sentiasa 'looking forward'.Dan hasilnya mereka mula bangun, mandi dan menceriakan diri seperti sediakala.
Bohonglah aku tidak sedih dan menderita dengan penyakitku. Tapi dengan pengetahuan kaunseling yang ku miliki, dengan bahan bacaan tentang penyakitku aku gunakan untuk meneruskan kehidupan ini.Aku sentiasa melihat ke depan, sentiasa memikirkan terlalu banyak tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan aku sentiasa mencerikankan diriku seolah-olah tiada apa yang menimpa diriku.
Petua seterusnya ialah: Pertama aku sentiasa yakin hanya Allah yang memberi dan menyembuhkan, hanya Allah yang akan sentiasa bersama kita selagi sentiasa mengingati dan meminta kepadaNYA, dan hanya Allah tempat mengadu yang paling baik.
Kedua: Aku sentiasa mengingatkan diriku untuk lebih sihat dan cepat sembuh 'Dont treat urself as a sick person".
Percayalah ajal maut ditangan Allah dan hanya dia yang menentukan kematian kita.Sijil lahir telah ditulis tarikh lahirnya, tapi sijil Kematian Allah yang menetapkan tarikhnya. Selagi masa itu belum sampai kita teruskan kehidupan seadanya.
Monday, March 21, 2011
Thursday, January 6, 2011
Mengubah rutin

14 Julai aku discharge dari hospital.Appoitment untuk meneruskan rawatan di Hospital Pakar Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2010.Nampaknya sebulan lagi aku menanggung tanpa mengetahui perkembangan penyakitku. Jadi aku kena berusaha untuk berjuang demi kehidupanku.Hahaha macam nak pergi medan perang .
Allah maha kaya,dia berikan petunjuknya, seorang kawan memberikan alamat sebuah klinik out patient Wijaya International Medical Centre di Petaling Jaya .Dari 26-30 julai aku berbincang dan buat diognostik dengan Dr Datuk Ibrahim Mohamed tentang penyakit. Biopsy kali ke2 aku dihantar ke Singapura.Kesimpulannya, kata doktor aku mesti segera buat rawatan kerana mengikut keputusan biopsy,barah yang aku hidapi di peringkat 4.ooooo Tuhan,beratnya ujianMu.kehidupan harus diteruskan. 3-4 Ogos 2010 aku menjalani kimoterapi yang pertama.
Pusingan kimo aku ialah 21 hari. Rutin yang kujalani mula berubah. 10hari selepas kimo adalah hari2 yang memang memerlukan aku berjuang. Walau pun aku sebenarnya memang tidak berupaya melalui sepuluh hari yang menyeksakan itu, tapi aku bangun dan jalani seperti biasa.apa yang orang kata tentang kesan kimo,aku rasai tapi aku paksa diriku untuk tidak mengakuinya.Aku mahu orang melihat aku sihat dan macam biasa.semakin kurang kebimbangan orang sekeliling tentang penyakitku, semakin kuat aku untuk mengharungi sakit ini. Inilah rutin2 bosanku selama 5pusingan kimo dan doktor mengesahkan tumor aku sudah semakin kecut dan untuk rawatan berikutnya adalah radioterapi
bermula 11-15 Jan 2011.
Wednesday, January 5, 2011
seronoknya menjadi pesakit.

Semenjak rakan2 sekerja dan rakan yang rapat denganku tau aku sakit barah paru2 , setiap hari tak kira waktu dari pukul 10pagi sampai ke 7 malam ada je rakan2 yang datang.Penuh keliling katilku dengan makanan dan gubahan bunga. Bila malam,aku ,suami dan anak2 bergembira menikmati buah tangan kawan2.rakan2 sebilik di wad pun tumpang sekaki.seronok tak terkata.Lupa sekejap yang aku hidapi.Barangkali inilah penawarnya bagi menambah kekuatan diri dalam mengharungi hari2 muka.

Sampai satu ketika, bila waktu melawat, doktor yang merawatku terserempak dengan kawan2 yang nak melawat dalam lif, boleh mengagak "nak lawat Pn Yani ye?'Hahaha aku tiba2 jadi popular di hospital.Walau bagaimana pun aku mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kawan2ku di IPPM yang sangat bermurah hati mendermakan wang ringgit,supplement,makanan ,moral support yang aku rasakan tidak mampu dibayar dengan nilai wang ringgit. Terima kasih kawan,budimu akan aku bawa ke liang lahad.
Kedatangan kawan2 membuatkan aku hilang sakit, tapi bila mereka tiada aku rasa cukup kehilangan.Aku memikirkan bagaimana jika suatu hari nanti aku tidak mampu lagi bergerak, adakah orang yang menziarahiku seperti ini, adakah anak2 akan begitu setia merawatku,aaah aku mula seperti orang tidak rasional.Aku akan cuba lapangkan fikiranku dari memikirkan kemugkinan yang negatif.
Aku mahu hidup untuk melihat cucu cicit, aku hidup untuk terus menyumbangkan baktiku, dan aku mahu hidup untuk memastikan anak2 hidup bahgia dengan pasangan dan mempunyai pekerjaan yang menjamin masa depan. Amin2 doaku padaNYA.
Tuesday, January 4, 2011
11 hari di Hospital Putra, Melaka
Hari ke2, aku telah mula menyesuaikan diri dengan keadaan aku sekarang, merasionalkan otakku bahaya aku mesti kuat walau apa pun yaang doktor katakan mahupun yang aku rasakan sendiri. Aku mula beramah mesra dengan rakan sebilik.Aku menyelami perasaan pesakit lain dengan kemahiran kaunseling yang aku ada. Aku bantu mereka hidup sebagai pesakit dan menerima diri dan situasinya. Aku rasionalkan mereka tak perlu murung dan hidup dengan ceria.
Di bilik ku ada 4 katil, berkat usaha aku membantu pesakit lain, akhirnya mereka cepat sembuh dan keluar dari hospital. Akhirnya pesakit 3 katil di bilikku silih berganti tapi aku tetap tak balik sehinggalah 11 hari.Aku betul2 enjoy dan bahgia buat keja kebajikan kat hospital.
Suamiku pulak, dia downloadkan semua artikel tentang kanser paru2 dan rawatan untuk aku memahami dan bersedia dengan penyakitku.
Di bilik ku ada 4 katil, berkat usaha aku membantu pesakit lain, akhirnya mereka cepat sembuh dan keluar dari hospital. Akhirnya pesakit 3 katil di bilikku silih berganti tapi aku tetap tak balik sehinggalah 11 hari.Aku betul2 enjoy dan bahgia buat keja kebajikan kat hospital.
Suamiku pulak, dia downloadkan semua artikel tentang kanser paru2 dan rawatan untuk aku memahami dan bersedia dengan penyakitku.
Trajedi 4 julai 2010
Seperti mimpi yang datang tiba2.Aku sesak nafas dan dihantar ke hospital Putra , Melaka. Selepas pemeriksaan dan x-ray dilakukan aku ditahan di wad. Paru2 kiriku penuh dengan air dan perlu dikeluarkan dengan segera untuk membantuku bernafas dengan selesa seperti sediakala. Doktor Chau pakar ongkologi, terpaksa memasukkan satu tiup dari rusuk kiri tembus ke paru2 bagi menyedut air keluar dari paru2. Hanya pelaksanaannya waktu memasukkan tiub dengan cara menyucuk besi tampa bius tembus ke paru2, menarik besi keluar dan tiub tinggal di dalam, air pun tersedut keluar, membuat aku seperti merasai saat kematian.Kesakitan yang tidak tergambarkan dengan ucapan. Barangkali nilah rasanya sakit orang ditikam. Pun begitu, aku bersyukur kepada Allah kerana memilih aku untuk ujian ini, bagi mengampunkan dosa2ku.Moga aku tabah menghadapinya.
Aku terpaksa warded di hospital untuk menjalani beberapa diognosis penyakitku.Dan seperti yang aku dan suami jangka, aku disahkan mengidap kanser paru2 tahap 3b oleh Dr Idham yang merawatku. Aku hanya mampu tersenyum kelat dan tiada soalan utk doktor walau doktor begitu mengharapkan aku bertanya sesuatu kepadanya.
Sepeninggalan doktor aku memegang tangan suamiku,sambil berkata,"cukuplah 25tahun saya dapat menjaga abang" sambil menelan air mata.Suamiku begitu positif, sambil berkata "ngapa kata begitu,kita fikir macam mana nak hadapi" walau aku tau dia sangat sedih.
Petang selepas suamiku balik bertugas, aku keseorangan dalam kesakitan yang masih terasa, aku menangis sepuas2nya, kerana aku berjanji pada diriku aku takkan menangis lagi selepas ini. Aku mesti berjuang untuk diriku sehingga aku sembuh. Walaupun aku tak tahu berapa lama boleh bertahan
Monday, May 31, 2010
Selamat Hari Guru
Semalam,barulah IPG aku menyambut hari guru.Walau pun sambutan ni dah sejuk, tapi aku kira bolehlah diraikan kerana masih dalam bulan Mei lagi.Dan inilah hari terakhir bulan Mei.Banyak2 perkara dalam sejarah dunia pendidikan yang aku lalui , bermula dari sekolah sehinggalah aku menjadi guru adalah jasa2 guru yang pernah mengajar aku. Yang paling mengesankan aku ialah seorang guru Matematikku waktu aku darjah 4.Ceritanya begini:
Aku tak tahu cikgu aku ni masih ada atau sudah kembali ke rahmatullah.Jika ia masih hidup aku doakan dia sihat sejahtera dan bahgia dunia dan akhirat. Jika dia dah tiada lagi, aku doakan moga rohnya diberkati Allah. Nama cikgu ni ialah Jalil bin Jatin. Kalau tengok muka memang macam garang tapi dia tegas mengajar.Aku adalah muridnya yang paling besar dan tinggi dalam kelas.Malangnya aku ni murid yang paling miskin.Mak aku janda, anak dua.Comel lagi mak aku masa status janda tu .Ceritanya, mak aku taklah mampu nak belikan aku baju sekolah tiap tahun. Jadi, baju sekolah yang aku pakai masa darjah 3, di pakai masa darjah 4.Oleh kerana badan aku subur sangat, baju sekolah tu tak sesuai langsung untuk aku pakai lagi. Dahlah sempit macam sarung nangka , singkat pulak ke pangkal paha.Tapi dah takde baju, pakai jelah.Rupa2nya cikgu Jalil ni, sangatlah perihatin ngan aku. Kesian agaknya dia tengok aku tambahan untuk menjaga maruah aku sebagai anak gadis kecil yang selalu diejek oleh budak lelaki kerana baju yang singkat, satu hari tu, aku dipanggilnya. Kata cikgu Jalil bagitau mak, esok balik sekolah mak tak payah jemput, ikut cikgu pegi kedai beli baju. Haah, terbeliak gembira aku, bila tau nak dapat baju baru. Balik je sekolah sekolah, terus aku beritau mak, tapi mak diam je.Soknya, mak jumpa Cikgu Jalil, mak cakap , "tak payahlah cikgu, nanti duit saya kumpul dah cukup, saya beli baju baru untuk anak saya. Saya ni janda, nanti orang kata saya nak mengurat cikgu pulak". Tapi cikgu Jalil kata, dia ikhlas nak belikan aku baju bukan sahaja kerana apa2 tetapi kerana dia gembira,aku muridnya yang paling cerdas dan mudah dapat dalam kelas. Barulah mak setuju bila dengar alasan tu.Balik je sekolah, aku membonceng motor cikgu Jalil ke kedai baju. Baju yang cikgu Jalil beli aku pakai dari darjah empat sampai darjah 6 dan singkat juga sebelum aku menamatkan sekolah rendah dan memasuki sekolah berasrama. Tapi...jasa cikgu Jalil aku kenang sampai mati.Hanya dia sorang yang perihatin dengan kesusahan aku.
SELAMAT HARI GURU CIKGU....
Thursday, May 13, 2010
Gelora hari seorang ibu
Sekarang,semua anak2ku dah dewasa.Selama ini aku kira aku telah menyempurnakan tanggungjawab dengan baik,memberikan kemewahan seada dan semampunya.Tapi ....bila terbaca catatan anak2,terdengar keluhan anak2 aku menjadi sebak dan sayu.Rupa2nya terlalu banyak yang aku tak mampu untuk memuaskan hati anak2.Tentang kasih sayang berbelah bagi, tentang hari jadi yang tak diingati, tentang masa yang mencukupi untuk bersama mereka dll.Seperti aku mahu lari ke hujung dunia, menjerit dan melaungkan, ibu mana yang tak sayangkan anak,binatang lagi tidak makan anak, inikan manusia,ibu mana yang tak ingat perjalananan hidup anak2nya, dan ibu mana yang tak pernah memikirkan kepentingan dan kebahgiaan hidup anaknya.Hanya kadang2 anak lupa tentang susah payah ibu bapa yang membesarkan, tentang pengorbanan ibu bapa untuk memenuhi keperluan si anak.
Ketahuilah wahai anak2,berapa banyak peluang dan ruang untuk ibu bapa menikmati kebahgiaan,kegembiraan,kesenangan yang terpaksa ditolak dan dilepaskan kerana pada masa itu anak2 lebih penting.Tahukah anak2 ibu bapa selalu tidak memenuhi keinginan diri sendiri kerana peruntukan itu lebih penting bagi si anak.Tahukah anak2 ibu bapa bertungkus lumus membanting tulang, tak lena tidor memikirkan bagaimana hendak mendapatkan rezeki lebih bagi menampung keperluan anak2. Tapi anak2 hanya tahu mengomel dan menyatakan rasa tak puas hati,benci dan sakit hati.
Pesanan akhir seorang ibu, JANGAN TERLALU BANYAK KITA MEMINTA,KERANA KITA SENDIRI PUN TIDAK PERNAH SEDAR BAHAWA TERLALU SIKIT YANG KITA BERI. Setitik air mata ibu, segaris luka dihati ibu hanya ia sahajalah yang bisa mengampunkannya.Berbahgialah jika kita diampunkan, celakalah jika kita dikutuknya.
Benar kata orang tua2 "SYURGA ITU DI TELAPAK KAKI IBU".
Subscribe to:
Posts (Atom)