Monday, November 14, 2011

KAWAN-KAWAN DI MALAY GIRLS HOSTEL

Malay Girls Hostel meninggalkan nostalgia yang amat mendalam di hati arwah. Pada Disember 2000 arwah mengajak ke Seremban untuk menjenguk Malay Girls Hostel, tapak SM Convent, SMK Tuanku Durah, MPRM (sekarang SMK Sikamat), Taman Megaways, dan tempat-tempat lain.

Arwah sering bercerita tentang kehidupannya di Malay Girls Hostel. Bercerita tentang kawan-kawannya dan nama yang paling kerap disebut ialah Achai dan Ujang. Arwah kerap kali bercerita tentang kawanya yang tinggal di Peradong (lupa sape lak nama kawan yang sorang ni) Arwah juga mencari kawannya yang bernama Jam. Semasa ke Kuala Klawang arwah mengajak mencari rumah Jam. Bila sampai rumah Jam arwah tak jadi nak berjumpanya. Lain kali katanya.

Arwah kerap membuka album lamanya dan menunjukkan gambar-gambar semasa di Malay Girls Hostel. Terkekek-kekek
arwah ketawa bila menceritakan kenakalan bersama kawan-kawannya. Yang ni mulut becok pokpekpokpek, yang ni daring, yang ni seksi, yang ni suka bukak baju tinggal bra and panty, yang ni ......... besar saiz 40 hahahaha, yang ni dengan yang tu tiap-tiap malam tidur sekelambu dan macam-macam lagi. Cerita penyelia asrama yang tak kawin-kawin (kalau tak silap la) tukang masak yang agak berisi dan becok, merangkak masuk dewan makan nak tengok cerita combat dan lain-lain. Paling seronok bila arwah bercerita tentang mandi. Hostel's Night juga menjadi kenangan arwah. Bila diusik yang arwah mesti menari lah, menyanyilah, arwah malu-malu menafikannya.Arwah sangat-sangat teruja bercerita tentang Malay Girls Hostel. Kerap kali arwah mengatakan tersangat rindukan kawan-kawannya di Malay Girls Hostel. Beberapa bulan sebelum pemergiannya, arwah telah mengasingkan album tersebut dari rak dan menyimpannya di bawah timbunan fail- seolah-olah arwah menyembunyikannya.

Akhirnya arwah dapat bertemu dengan Achai melalui Facebook. Achai telah datang ke rumah berjumpa arwah. Banyak maklumat tentang kawan-kawannya melalui Achai. Puas hati dan hilang rindu katanya. Terima kasih Achai kerana telah memggembirakan arwah sebelum pemergiaannya.

Arwah juga dapat bertemu dengan seorang lagi kawannya (lagi sekali terlupa nama). Pertemuan berlaku di Pusat Sumber IPG Kampus Perempuan Melayu. Pertemuan yang sangat-sangat menggembirakan arwah. Arwah telah bercadang untuk mengadakan reunion di rumah kami. Kata arwah ini mungkin pertemuan mereka kali terakhir. Tapi sayang hajat arwah tidak tercapai.

Sebenarnya mengikut perancangan awal, reunion tersebut dirancang pada 24 September 2011 sempena majlis rumah terbuka Hari Raya dan majlis meraikan perkahwinan anak perempuan . Entah mengapa arwah tidak mahu menjemput mereka ke majlis tersebut. Lain kali katanya.

Akhirnya reunion tetap berlaku pada 24 Oktober 2011 bila Achai dan beberapa kawannya datang untuk ziarah terakhir.

Sunday, November 13, 2011

MEREKALAH KAWAN, MEREKALAH TEMAN.......

Kamarul dan Ida

Kedua-duany
a adalah kawan yang sering berhubung dengan arwah setahun sebelum arwah pergi. Ida adalah kawan serumah, teman sebilik arwah semasa belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Kamarul, suami Ida adalah senior arwah. Kata arwah : terlalu banyak kenangan bersama Ida. Susah senang bersama, kongsi masalah, pernah kongsi duit bila kekeringan,berkongsi makan dan lain-lain lagi.

Selepas tamat pengajian, arwah ke Sabah dan hubungan terputus. Bila balik bertugas di Muar, satu hari (awal tahun 90an) Kamarul dan Ida datang ke rumah. Itulah kali pertama selepas terpisah. Selepas itu arwah tidak pernah lagi berjumpa dengan mereka walaupun tahu tempat tinggal mereka malah kami sering ke Senawang kerana an
ak ke empat bersekolah di SDAR.

Bila arwah mula berjinak-jinak dengan Facebook, arwah dapat berhubung semula dengan Kamarul dan Ida dan hubungan menjadi rapat semula. Sepanjang pertemuan semula dua kali berkunjung ke rumah mereka dan sebaliknya. Pada masa ini arwah telahpun disahkan mengidap barah. Kamarul dan Ida hadir dalam majlis rumah terbuka dan majlis meraikan perkahwinan anak p
erempuan kami. Arwah terharu dan menitiskan air mata bila Kamarul menyatakan "ini majlis anak buah den"

Apabila arwah dimasukkan di HPSF Muar, mereka kerap melawat. Pada malam terakhir, sewaktu pemeriksa
an doktor, arwah memberi tahu dokotor yang dia makan sebanyak sepuluh suap.Ida yang menyuap arwah makan malam itu untuk kali terakhir.

Tiga hari sebelum pemergian, arwah telah menggunakan topeng oksigen dengan tekanan setinggi 15 liter (tekanan maksimum). Kandungan oksigen dalam darah diukur setiap masa. Walaupun tekanan tinggi, kandungan oksigen dalam darah han
ya sekitar 70% hingga 85% sahaja. Tetapi bila Kamarul dan Ida datang, kandungan oksigen dalam badan meningkat 100% dan sepanjang mereka bersama kandungan oksigen konsisten 95% hingga 98%. Arwah sangat-sangat gembira dengan kehadiran mereka. Hajat arwah untuk bertemu Ida dapat juga dipenuhi sebelum pemergiannya.

Mengenang kembali.....

Semasa duduk bersendirian, fikiran merewang masa-masa silam bersama arwah. Dari mula mengenalinya dalam tahun 1982 hingga di saat-saat arwah mengembuskan nafas terakhirnya dalam pelukan.

Bermula dari Disember 2000, arwah sering termenung bila duduk bersendirian. Bila ditanya kenapa temenung arwah mengatakan tidak ada apa-apa yang
dimenungkannya. Satu hari arwah meluahkan rasa hatinya. Arwah merasa rindu- tersangat rindukan saat-saat menjalani kehidupan di Kuala Klawang, Jelebu - tanah kelahirannya dan zaman bersekolah di SK Kuala Klawang. Arwah terkenangkan kawan-kawannya semasa belajar di SK Convent dan SMK Tuanku Durah. Arwah mengeluh sama ada dapat berjumpa atau tidak dengan kawan-kawannya terutama mereka yang tinggal di Malay Girls Hostel.

Arwah mengajak ke tempat-tempat tersebut dan menyatakan puas hati walaupun tidak dapat bertemu dengan kawan-kawannya. Cuma seorang sahaja yang dapat ditemuinya, Hajar yang tinggal di Ujung Pasir.Singgah di warung Mak Hajar, arwah b
erbual panjang dan begitu gembira dapat makan rojak dan capati yang disediakan oleh Mak Hajar. Kali terakhir berjumpa Hajar pada 15 April 2011 tetapi mak Hajar telah tiada. Ini adalah kunjungan dan pertemuan terakhir bersama Hajar. Arwah sempat belajar membuat rojak dari Hajar dan sering membuat rojak untuk kami sekeluarga.

Arwah terus mencari dan mencari sehingga akhir hanyatnya





Friday, November 11, 2011

Al- Fatihah

NOR YANI BINTI AHMAD
09.10.1962 - 23.10.2011

Setelah bertarung melawan barah paru-paru selama satu tahun tiga bulan, akhirnya Mawar Berduri telah kembali kepadaNya pada jam 8.40 malam 23 Oktober 2011. Allahyarhamah sangat tabah dan tidak pernah berputus asa melawan barah walaupun doktor telah mengesahkan tiada harapan sembuh. Allahyarhamah sentiasa ceria dan positif. Allahyarhamah terus bekerja walaupun boleh mengambil cuti kerana barah selama dua tahun. Allahyarhamah seringkali mengucapkan, "Lebih baik saya mati di hadapan pelajar-pelajar saya dari menunggu mati di atas katil." Bagi Allahyarhamah segala-galanya ditentukan oleh Allah. Kepada mereka yang mengenali Allahyarhamah, maafkanlah salah silap dan halalkan makan minum Allahyarhamah ketika bersama. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin

Wednesday, March 30, 2011

hati seorang ibu

Ini aku kongsi hati seorang ibu setelah sedekad lebih aku menjadi ibu.Sewaktu anak2ku kecil tak cukup tangan aku mengendalikan 5 orang anakku. Tambahan setiap sorang jarak hanya setahun.Hanya anak ke4 dan ke5 jaraknya agak jauh 7 tahun. Penatnya memang tak terkatakan.Maklumlah anak sulungku sorang perempuan, 4 lagi lelaki. Apa2 sikit aku serahkan kat along. Along itu, along ini.Kadang2 sedih juga aku melihat dia, tapi pada aku dialah sorang perempuan dia mesti tau semua keja2 perempuan. Itu masa kanak2 Diam tak diam anak2 dah 4 dah dewasa, tinggal si adik baru menjejak remaja.Kini semuanya jauh berbeza. ketika aku seumur mereka, aku cukup mendengar kata.Kalau putih kata mak aku, putihlah kataku.Zaman sekarang jauh beza. Bila banyak menegur dan menasihati, dikatakan, mereka dah cukup dewasa untuk diberitau buat itu, buat ini. Bila dilarang kehendak hati, maka memberontaklah jiwa, menarik muka seperti concorot, keluar rumah tak balik hingga jauh malam, berkurung dalam bilik tak makan dan minum.Bila disuruh membantu keja rumah, ada yang merungut, asyik2 dia je, ngapa tak yang lain.Akhirnya...... Bukan tak sedih, bukan tak terluka. Tapi...bila teringat, sepotong ayat Al Quran lebih kurang maksudnya: Pada akhir zaman nanti, anak2 akan menjadi tuan kepada ibu bapa, Aku menjadi pasrah. Mungkin ini adalah takdir atau balasan atas setiap dosa ku dan suamiku. Mungkin aku dan suami juga ada melakukan perkara yang sama kepada kedua orang tua kami.atau mungkin inilah cara Allah memberi ujian kepada kami. Maka dengan linangan airmata, setiap solat aku berdoa:
Ya Allah ya Tuhan yang maha berkuasa,

Tiada kuasa lain melainkan kau yang lebih berkuasa,

Kepadamulah aku bermohon dan berserah,

Kau berikanlah kegembiraan, kebahgiaan dan kedudukan,

kepada semua anak-anakku,

Janganlah kau berikan kesedihan, kesakitan dan kekesalan,

kepada mereka.

Janganlah kau berikan mereka merasai apa yang aku dan suamiku rasai.

Jika ini adalah solatku yang terakhir,

ambillah aku dengan mudah dan tempatkan bersama orang-orang

yang kau kasihi tampa menyusahkan semua orang yang

akan menguruskan jenazahku.

Amin ya rabbalalamin.

Monday, March 28, 2011

terapi paling mujarab untuk pesakit kanser stage4




25-27 Mac2011 aku dijemput untuk menjadi fasilitator kem kaunseling kelompok pelajar2 UNITAR Melaka di Gunung Ledang Resort.Dah lama aku merindui aktiviti yang sangat2 aku minati. Hampir setahun aku terpisah menyendiri dengan duniaku.Ini lah peluang yang aku nanti2kan untuk kembali seperti dulu. Kul 4 30 petang aku dah pun memandu sendirian ke Gunung Ledang.Dalam hati Allah je yang tau bagaimana gembiranya aku.Rasa tak sabar2.Setengah jam lepas aku check ini, bas UNITAR yang membawa 17 pelajar kaunseling sem 7sampai dengan cerianya. Sekali pandang memang mereka ini sangat bertenaga dan komited. Bermula jam 6 petang, berkampunglah aku dengan pelajar2. sangat senang bersama mereka. Mudah ditunjuk ajar dan mengikut kata. Satu demi satu slot aku lalui bersama mereka.Dari terapi air sampailah ke slot terakhir 'group binding'.aku bersyukur kepada Allah dengan kesihatan yang diberi kem tersebut. sebelum berpisah kami sempat menghabiskan masa di air terjun bergurau senda dan berseronok.Aku benar2 lega dan seronok. Hilang segala kebosanan aku selama aku dinamakan pesakit.3 ari 2 malam aku begitu bahgia dan sihat.Jadi 'moral of the story' pesakit macam aku kena buat rutin sebelum dia sakit untuk mengembalikan kesihatannya. Percaya, kegembiraan, kebahagiaan dan semangat cukup kuat untuk membantu kita sembuh selain dari rawatan, ubat dan doa.

Monday, March 21, 2011

Apa kata doktor?

Aku menjalani rawatan radioterapi di hospital. 12 pusingan dan terpaksa menginap di hospital kerana jauh untuk berulang-alik setiap hari. Hakikatnya rawatan hanya 10-15 minit setiap hari tapi aku pasrah untuk menimba pengalaman di wad onkologi.
Setiap hari, jam 7 pagi aku akan menandatangani borang keluar wad untuk 30 minit kerana keluar ke cafe membeli sarapan pagi untuk ku dan pesakit sewad dengan ku. Yang paling penting membeli surat khabar. Habis semua jenis surat khabar aku beli untuk menghilangkan kebosanan di wad. Kadang2 aku membeli buku.
Namun sebelum menjelang petang, semua bahan bacaan ku habis dibaca.Apa kerja aku selanjutnya? Aku merayau2 ke wad2 lain di tingkat onkologi. Mencari pengalaman berbual dengan pesakit lain yang mengidap pelbagai jenis penyakit kanser.Di kalangan pesakit ini ada yang sangat kuat semangat juangnya. Tapi..tak kurang yang mengaku kalah sebelum berjuang.Nampak sangat parah hakikatnya baru stage1 / stage2.Aku gunakan kemahiran kaunseling yang aku ada, untuk meneroka perasaan, harapan dan kenapa mereka sedemikian.Sedangkan aku sekarang berada di stage4.
Akhirnya dapatlah aku simpulkan pengetahuan tentang penyakit yang dihidapi tidak mendalamm, doktor tidak memberikan penerangan yang jelas tentang sakit, rawatan dan bagaimana pesakit berhadapan dengan penyakit tersebut, kaum keluarga dan kawan2 yang terlalu berlagak pandai dan berilmu menyampaikan pelbagai petua yang kadangkala menakutkan dan menyeksa pesakit dan yang penting doktor yang tidak langsung menggunakan psikologi untuk menyampaikan berita kepada pesakit.
Aku lalui situasi ini dengan jelas.Perhatikan apa kata doktor bila aku tanya apa kondusi aku setakat ini? Kata doktor: Now u are in stage4.No cure.U r competing with ur time.What ever u want to do, lets do it. Rawatan yang kami beri hanya percubaan untuk panjangkan hayat u.
Bayangkan jika orang yang mendengar itu, tidak kuat emosinya, tidak ada pengetahuan kaunseling untuk dia melayan emosinya, apa akan jadi? Sudah tentulah seperti pesakit yang saya temui di wad lain. Inilah hakikatnya tinggal di hospital. Mati bukan kerana sakit, tapi kalah emosi di dera oleh para doktor secara psikologi.
Alhamdulillah sepanjang 12 hari aku di wad, dapatlah aku memotivasikan 5 orang pesakit pelbagai jenis kanser dan pelbagai stage untuk terus berjuang dan sentiasa 'looking forward'.Dan hasilnya mereka mula bangun, mandi dan menceriakan diri seperti sediakala.
Bohonglah aku tidak sedih dan menderita dengan penyakitku. Tapi dengan pengetahuan kaunseling yang ku miliki, dengan bahan bacaan tentang penyakitku aku gunakan untuk meneruskan kehidupan ini.Aku sentiasa melihat ke depan, sentiasa memikirkan terlalu banyak tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan aku sentiasa mencerikankan diriku seolah-olah tiada apa yang menimpa diriku.
Petua seterusnya ialah: Pertama aku sentiasa yakin hanya Allah yang memberi dan menyembuhkan, hanya Allah yang akan sentiasa bersama kita selagi sentiasa mengingati dan meminta kepadaNYA, dan hanya Allah tempat mengadu yang paling baik.
Kedua: Aku sentiasa mengingatkan diriku untuk lebih sihat dan cepat sembuh 'Dont treat urself as a sick person".
Percayalah ajal maut ditangan Allah dan hanya dia yang menentukan kematian kita.Sijil lahir telah ditulis tarikh lahirnya, tapi sijil Kematian Allah yang menetapkan tarikhnya. Selagi masa itu belum sampai kita teruskan kehidupan seadanya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin