Thursday, August 22, 2013
CERITA BUAH DURIAN
Sekarang musim buah durian. Durian banyak meninggalkan kenangan pada aku, arwah dan anak-anak ku. Durian menjadikan aku dan arwah terus-terusan berusaha untuk mencari harta sendiri.
Aku ingat lagi sekitar tahun 1991, aku dan arwah baru dapat bertukar dari Sabah. Aku tinggal di rumah sendiri di Kesang Laut. Pada awal baru balik dari Sabah kehidupan kami agak susah tetapi kami lalui bersama-sama dengan cekal. Anak-anak kami, along berumur 4 tahun, angah 3 tahun dan uda 2 tahun.
Musim durian tahun itu, peluang bagi aku untuk memperkenalkan durian pada anak-anak ku. Arwah abah ada dusun buah-buahan. Dusun tersebut di pertengahan perjalanan aku ke sekolah. Pada satu hari, bila durian dah gagat gugur aku pun mengajak keluarga ku singgah di kebun pada waktu pagi kira-kira jam 6.30 pagi sebelum ke sekolah. Dapat lah aku kutip dalam tiga biji durian di bawah pokok paling dekat dengan jalanraya. Tengah hari aku singgah ke rumah mak dan memberitahu aku ambil 3 biji durian untuk anak-anak aku rasa.
Rupa-rupanya, tindakan aku tu tak disenangi oleh makku. Aku masih ingat apa yang dia kata," Laaa kan buah tu Onn yang nak jual." Esok pagi, dalam perjalanan ke sekolah, aku lihat adik ku dah ada di dusun mengutip durian. Melelah air mata arwah bila tengoh keadaan ini. Sejak hari itu aku tidak lagi ambil durian di dusun. Bila hujung minggu aku ke rumah keluarga ku, arwah abah suruh aku kutip dan ambil durian di dusun bila balik sekolah
Aku akur dan aku singgah di dusun dan kutip durian dan kumpulkan di bawah rumah arwah mak ngah. Setelah aku kumpul aku bawa balik buah durian yang ditebuk tupai untuk anak-anak ku. Yang elok aku tinggalkan untuk dijual. Itu yang aku lakukan setiap hari.
Rupa-rupanya, perbuatan ku itu,disedari oleh arwah Mak Ngah. Dia bertanya kenapa aku ambil buah ditebuk tupai. Aku katakan yang buah-buah yang elok nak dijual. Arwah abah mintak tolong aku kutip dan jadi mana yang tak boleh dijual aku ambil. Arwah Mak Ngah memberitahu arwah abah. Mulai hari tu, arwah abah akan mengasingkan durian yang elok untuk aku. Aku terharu kerana arwah abah buat begitu berlawanan dengan mak.
Peristiwa ini menjadikan aku dan arwah isteri bertekad untuk memiliki dusun sendiri dan tidak akan mengambil apa pun harta peninggalan arwah abah. Bila abah meninggal, aku tak ambil pun bahagian aku dan aku serahkan semuanya pada adik-adikku. Kami membeli tanah pada tahun 1995, membina rumah tahun 1996. Kami tanam pokok buah-buahan supaya bukan sahaja untuk makan sendiri tetapi juga boleh dibahagi-bahagikan kepada kawan-kawan. Ini dah dapat ditunaikan.
Selepas abah meninggal, dan pusaka telah aku lepaskan, aku bertekad tidak akan mengambil durian di dusun "mereka'. Aku beli sebiji dua durian bila anak-anak kepingin nak makan. Satu ketika, akan-anak merengek nak makan durian. Aku dan arwah beli durian siam yang banyak dijual di tepi jalan. Aku beli 3 biji. Aku kopek,anak-anak ku teruja bila nampak ulas yang besar dan makan dengan lahap tetapi selepas makan beberapa ulas, mereka berhenti-mungkin kekenyangan. Puas hati aku dan arwah bila tengok anak-anak tergolek kekenyangan. Satu hikmah dari peristiwa ini, anak-anakku semakin kurang makan durian dan bila dah ada dusun sendiri, mereka tak gemar makan durian. Malah buah durian yang ada dimakan oleh monyet-monyet. Buah pulasan, rambutan, nangka, ciku dan mangga semuanya jadi makanan monyet-monyet yang habitatnya dirosakkan oleh manusia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Terharu bila baca kisah ni... moga Allah berkati ruh arwah ayah dan isteri tuan.
ReplyDelete