Kamarul dan Ida
Kedua-duanya adalah kawan yang sering berhubung dengan arwah setahun sebelum arwah pergi. Ida adalah kawan serumah, teman sebilik arwah semasa belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Kamarul, suami Ida adalah senior arwah. Kata arwah : terlalu banyak kenangan bersama Ida. Susah senang bersama, kongsi masalah, pernah kongsi duit bila kekeringan,berkongsi makan dan lain-lain lagi.
Selepas tamat pengajian, arwah ke Sabah dan hubungan terputus. Bila balik bertugas di Muar, satu hari (awal tahun 90an) Kamarul dan Ida datang ke rumah. Itulah kali pertama selepas terpisah. Selepas itu arwah tidak pernah lagi berjumpa dengan mereka walaupun tahu tempat tinggal mereka malah kami sering ke Senawang kerana anak ke empat bersekolah di SDAR.
Bila arwah mula berjinak-jinak dengan Facebook, arwah dapat berhubung semula dengan Kamarul dan Ida dan hubungan menjadi rapat semula. Sepanjang pertemuan semula dua kali berkunjung ke rumah mereka dan sebaliknya. Pada masa ini arwah telahpun disahkan mengidap barah. Kamarul dan Ida hadir dalam majlis rumah terbuka dan majlis meraikan perkahwinan anak perempuan kami. Arwah terharu dan menitiskan air mata bila Kamarul menyatakan "ini majlis anak buah den"
Apabila arwah dimasukkan di HPSF Muar, mereka kerap melawat. Pada malam terakhir, sewaktu pemeriksaan doktor, arwah memberi tahu dokotor yang dia makan sebanyak sepuluh suap.Ida yang menyuap arwah makan malam itu untuk kali terakhir.
Tiga hari sebelum pemergian, arwah telah menggunakan topeng oksigen dengan tekanan setinggi 15 liter (tekanan maksimum). Kandungan oksigen dalam darah diukur setiap masa. Walaupun tekanan tinggi, kandungan oksigen dalam darah hanya sekitar 70% hingga 85% sahaja. Tetapi bila Kamarul dan Ida datang, kandungan oksigen dalam badan meningkat 100% dan sepanjang mereka bersama kandungan oksigen konsisten 95% hingga 98%. Arwah sangat-sangat gembira dengan kehadiran mereka. Hajat arwah untuk bertemu Ida dapat juga dipenuhi sebelum pemergiannya.
No comments:
Post a Comment