Bila diberitahu keputusan biopsy bahawa arwah mengidap barah paru-paru peringkat IIIb / IV, arwah menggenggam kuat tanganku. Arwah tak menangis. Diam buat seketika. Aku terkejut juga walaupun telah menjangka sesuatu yang buruk kerana doktor kerap bertanya berapa umur anak-anak. Bila aku beritahu 18 hingga 23 tahun, doktor membalas, "mudah dibawa berbincang". Kami tidak bertanya berapa lama jangka hayat arwah. Itu tidak penting. Pengetahuan aku tentang barah agak banyak. Bila doktor pergi arwah menangis dan mengeluh. Aku peluk dan aku katakan " selama ini kita cuma dengar, baca dan tengok orang mati kerana barah. Kita tak pernah nak ambik tahu tentang orang yang sembuh dari barah. Sekarang ni, kita kena belajar macamana nak hidup dengan barah." Dari saat itu arwah sentiasa berpandangan positif dan ceria menghadapi kehidupan sebagai pengidap barah paru-paru. Bahan-bahan mengenai barah aku muat turun dari internet agar arwah lebih memahami tentang barah, rawatan dan fakta-fakta tentang barah. Kawan-kawan banyak membantu.
Arwah menjalani rawatan kimoterapi di hospital swasta sebanyak enam pusingan menggunakan alimta dan cisplatin selang 21 hari setiap rawatan . Kali pertama menjalani rawatan, arwah agak tidak bermaya tetapi rawatan kedua dan seterusnya, arwah seperti biasa. Arwah tidak mengalami kesan sampingan seperti loya, meruam atau gugur rambut. Sebaliknya rambut arwah semakin lebat dan hitam berkilat.
Kawan-kawan kata aku gila, tak sayang bini. Selepas tiga hari menjalani rawatan ketiga, arwah meminta kebenaran untuk memandu ke rumah anak perempuan kami yang belajar di Kuala Terengganu Aku benarkan kerana aku percaya arwah mampu dan perlu membuktikan pada dirinya bahawa dia mampu melakukannya. Allhamdulillah arwah sampai ke Kuala Terengganu dengan selamat.
Berita buruk kali kedua bila keputusan ujian EGFR menunjukkan cancer cell receptor adalah negatif. Ini bermakna sebarang rawatan tidak memberi kesan kepada sel barah. Kami terima dengan hati terbuka. Pelan rawatan yang telah dipersetujui, rawatan kimoterapi akan dihentikan sekiranya EGFR negatif tetapi arwah tetap mahu meneruskannya. Hasilnya sel barah mengecut dari 5cm kepada 3cm. Satu perkembangan yang baik. Seterusnya doktor mengesyorkan untuk rawatan radioterapi sebanyak 25 pusingan dan menggunakan teknik IMTR dan arwah bersetuju tetapi akan dibuat di HKL kerana kekangan kewangan. Rawatan barah memerlukan kos yang sangat tinggi. Arwah mengomel," Pesakit barah mati bukan kerana barah tetapi kerana kos rawatan yang tinggi- tak semua mampu"
Arwah menjalani rawatan radioterapi di HKL sebanyak 12 pusingan menggunakan teknik konvensional. Doktor memberi alasan tidak menggunakan IMTR. Arwah terima dan sepanjang menjalani rawatan, arwah banyak membantu pesakit-pesakit lain untuk meneruskan hidup mereka. Seperti rawatan kimoterapi, arwah tidak mengalami kesan sampingan. Setiap pagi arwah mengambil pesanan dari pesakit-pesakit lain untuk membeli sarapan, surat khabar diHospimart. Ramai pesakit tidak percaya yang arwah mengidap barah paru-paru peringkat IV.
Arwah sentiasa bersikap positif dan percaya kehidupan ini perlu diteruskan dan dinikmati. Arwah selalu berkata," Tarikh lahir tercatat di surat beranak, tarikh mati hanya Allah yang tahu dan hanya dicatat dalam sijil kematian selepas mati." Arwah tahu jangka hayatnya paling lama kira-kira dua tahun sahaja.
No comments:
Post a Comment