Wednesday, November 30, 2011

Mengenang kembali.....iii

Hari ini 1 Disember hari jadi aku. Kebiasaannya subuh-subuh lagi arwah akan memeluk dan menciumku sebagai hadiah hari jadi. Pelukan dan ciuman biasa tetapi amat bermakna pada hari ini. Mulai hari ini semua itu tinggal kenangan yang tidak lagi menjadi kebiasaan kami. Tidak ada sambutan istimewa. Jika hari cuti arwah akan memasak beberapa jenis makanan yang aku suka, rojak darat, daging masak lemak cili padi dan rendang ayam. Kami akan makan bersama. Arwah akan melayan aku sepanjang hari. Banyak masa kami habiskan di bilik kami dan sudah tentu di atas katil. Anak-anak faham keadaan kami. Kami akan duduk bercerita dan mengenang semula kisah-kisah suka duka kami. Kami akan ketawa bila ianya mencuit hati, kami akan mengalir air mata jika ianya menyedihkan kami. Kalau hari berkerja kami akan keluar makan bersama pada waktu malam.

Sebagai seorang ibu dan isteri yang bekerja, arwah akan bangun seawal 4.30 pagi untuk menyediakan sarapan dan memasak untuk makan tengahari. Arwah akan pastikan makan minum anak-anak telah tersedia untuk mereka. Sebaik saja sampai rumah pada waktu petang, arwah akan terus memasak untuk makan malam. Pada hari-hari cuti pula arwah akan bangun selewat-lewatnya 5.30 pagi. Arwah akan membuat sarapan, menghidangkannya. Kebiasaannya kami bersarapan seawal 6.30 pagi. Jam 7.00 pagi kami akan ke pasar membeli ikan dan sayur. Arwah akan mula masak sebaik sahaja pulang dari pasar. Pada masa yang sama arwah akan menyediakan minum pagi jam 10.00 pagi. Arwah akan mempastikan lauk- pauk siap terhidang pada jam 11.30 pagi. Kami akan makan bersama. Kami akan berehat, membaca akhbar dan berbual-bual di bilik kami sehingga jam 3.00 ptg. Anak-anak kerap "mengganggu" kami bila kami berada di dalam bilik terutama sekali anak bongsu. Biasanya kami kalah, keluar melayan anak-anak. Arwah akan ke dapur semula menyediakan minum petang. Waktu petang kami akan berjalan-jalan, pergi ke rumah mak. Yang pasti anak-anak tak mahu ikut sama.

Pada waktu malam kami akan bersama anak-anak hingga jam 9.00 mlm. Arwah akan menyediakan minum malam untuk kami. Anak-anak akan makan sesama mereka. Arwah akan membawa minum malam ke dalam bilik dan kami makan bersama. Sekiranya aku ada kerja di luar, arwah tetap menyediakan minum malam dan meletaknya di meja sisi katil. Arwah akan menunggu aku balik dan melayan aku. Sekiranya aku balik terlalu lewat arwah akan tidur dulu dan arwah tetap menyediakan minum malam. Bila aku balik ke rumah, arwah akan membuka pintu menyambut aku, sediakan air panas yang tentunya kopi O. Sekarang tugas-tugas melayan aku diambil alih oleh anak bongsu kami, Amal. Rupa-rupanya arwah telah mengajar dan melatih Amal untuk menyambut aku balik dan menyediakan apa yang kebiasaannya dilakukan arwah. Cara Amal menyambut, posisi berdiri semasa menanti aku masuk,tak ubah seperti arwah yang setia menunggu aku balik. Arwah telah mengajar Amal cara-cara masak lemak kesukaanku dua minggu sebelum dia pergi.

Arwah telah bersedia untuk pergi. Arwah telah mengajar dan melatih Amal untuk menggantikan tempatnya. 1 Disember tinggal kenangan............

Tuesday, November 29, 2011

Mengenang kembali........ii

Aku mengenali arwah semasa di MPRM, sama-sama mengikuti kursus perguruan. Sebelum masuk ke MPRM aku mohon Library Science di ITM. Rupa-rupanya arwah pun mohon juga. Jodoh pertemuan kami di MPRM. Semasa minggu orientasi aku tak perasan pun arwah tapi kawan serumah ada menyebut mengenainya. Aku masih ingat ayat pertama aku padanya dan ayat pertama arwah membalasnya. Semasa semua GP lelaki dalam perjalanan ke padang, GP perempuan dikehendaki balik ke dewan. Mereka menjalankan aktiviti ragging di padang. Sekarang giliran GP lelaki lak. Semasa turun ke padang dalam barisan, macam banduan, aku berselisih dengannya dan terkeluar ayat pertama dari mulutku, "Peeeeh merahnya muka!" Arwah menjeling, " Menyampah!!!!!!" Aku selalu mengusiknya,"Tulah awak menyampah kat saya. Padan muka awak ikut saya sampai hari ini" Hahahaha. Arwah akan mencubit-cubit aku.

Selepas minggu orientasi, kami dibahagi-bahagikan mengikut unit. arwah sekelas dengan aku. Manakala kawannya sebiliknya Ida dalam unit lain. Arwah bercerita macam mana bencinya kat aku. Aku duduk di belakang.Dia duduk di depan. Satu hari kami dapat assignment. arwah buntu kerana tak tahu mana nak mula. semasa dia bercerita dengan Ida aku terdengar dan menyampuk. Aku mencadangkan beberapa buah buku dan cari di perpustakaan. Arwah minta aku bersama mencari bahan-bahan. Aku pun setuju dan bermulalah hubungan kami sebagai rakan sekelas. Sejak hari itu, kami agak rapat dan arwah sering meminta pendapat aku. Akhirnya arwah mula meluahkan masalah-masalah yang dihadapinya. Sebagai kawan aku memberi pandangan, nasihat dan sokongan moral. Semasa berkawan dengan arwahlah, aku mula berhenti merokok. Syarat berkawan dengannya ialah berhenti merokok. Aku akur.

Pada satu hari aku nampak arwah berjumpa dengan seorang pensyarah yang dikenalinya sambil membawa sampul surat. Bila dia selesai berjumpa pensyarah tersebut aku mengajaknya minum di kantin. Semasa di kantin aku bertanya apa yang dibincangkan dengan pensyarah.Dia memberitahu yang dia akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan kerana sakit perut. Arwah tanya, " Kalau aku masuk hospital, kau datang tengok aku tak?" Aku jawab," Hari-hari aku datang." Memang betul, aku setiap hari aku datang melawat dia tetapi bukan seorang diri. Hari ini aku datang dengan kawan-kawan serumah, esok lusa aku datang dengan kawan-kawan perempuan hingga lah dia keluar hospital. Aku pernah menemani Tipah melawat dia berdua je. Selepas kami berkahwin dia mengimbas semula hari aku datang dengan Tipah. Dia kata pada hari itu dia terasa sangat cemburu bila lihat aku dengan Tipah mesra sangat. Bila aku balik, dia tengok aku dengan Tipah dari tingkat empat sampai hilang dari pandangan. Aku ketawa. Aku tanya dia kenapa nak cemburu sedangkan Tipah ada tunang dan aku dengan arwah hanya kawan. Aku datang melawatnya sebab itu janji aku padanya. Lagipun arwah ada teman lelaki. Dia kata dia tak tahu tapi itulah perasaannya pada masa itu. Selepas arwah keluar kami menjadi lebih rapat. Aku melayannya lebih dari kawan biasa.Aku akan mendahulukannya dalam banyak hal.

Arwah memang diminati oleh ramai GP lelaki baik senior mahupun junior. Dia pernah bertanya aku kenapa dia menjadi perhatian lelaki. Secara ikhlas aku menegur cara dia memainkan matanya. Pandangan dan renungan matanya menyebabkan lelaki terpikat padanya. Ditambah sememangnya arwah cantik.

Mahat kawan serumah aku pernah bertanya aku tentang hubungan aku dengan arwah. aku memang tak ada apa-apa hubungan kecuali sebagai kawan biasa yang perhatin. Rupa-rupanya dia hendak berkenalan dengan arwah dan hendak mengajak arwah keluar. Lu pegi la. Peduli apa aku. Betul, Mahat berjumpa dengan arwah untuk berkenalan. Petang tu Mahat balik kerumah dan, " Tak jadilah , dia orang Negeri Sembilan" Haaaaa hahaha takut dengan orang Negeri. Esoknya, arwah bertanya pandangan aku tentang orang negeri sembilan. Aku beri pandangan ikhlas sebab aku sememangnya banyak membaca tentang adat pepatih, adat temenggong dan adat-adat melayu lain. Dalam hati aku, ini mesti berkait dengan Mahat. Sesekali aku ni nakal juga, Petang tu, ketika aku berbaring di ruang tamu, Mahat dalam biliknya, Saleh juga dalam bilik menyanyi-nyanyi, Wan Kemut terbaring melayan perasaannya, aku jerit pada Saleh, " Saleh, I think I want to stick with Yani this three years la." Saleh membalas," Aku setujuuuuuuuuu!" Aku saja usik Mahat tapi Wan Kemut ambil serius lak beritahu Arwah.

Pagi Isnin,(tarikh aku lupa) arwah menungguku. Pada masa ini kami telah dipisahkan kelas. Aku unit PM2 arwah PMC2. Aku menyapa arwah. Mukanya serius, "I want to discuss something with you." Aku jawab, "Ok no hal but during recess, I got class." Dalam kelas aku tertanya-tanya apa ke bende yang hendak dibincang. Lambat betul masa berlalu. Jeng.....jeng.....jeng......dah sampai waktunya. Waktu rehat kami makan bersama dan duduk berbincang. Arwah menceritakan apa yang Wan Kemut cerita padanya. Kami berbincang dan beebincang dan berbincang dan akhirnya kami dapat kata putus " We try" Sejak hari itu kami belajar memahami hati budi masing-masing sehinggalah aku mencatat sebuah sajak untuknya di atas failnya.

yani
anugerahnya
untuk seorang aku
yang sekian lama
dalam perjalanan
mencari seseorang
yang bernama
kekasih

Maka bermula sebuah percintaan......................................hehehehehehe

Monday, November 28, 2011

Ujian Seorang Menantu

Sebelum menjadi menantu, arwah telah diuji oleh mak. Ujiannya tidak lah susah sangat tetapi mungkin susah bagi sesetengah gadis. Sebelum bertunang, arwah diminta datang ke rumah membantu majlis kenduri. Mudahkan. Tolong je. Menu pun tak lah susah sangat. Ketupat, lodeh, kuah kacang, kari daging,rendang ayam, kuih muih dan rojak darat.Rupa-rupanya arwah ditugaskan untuk menganyam ketupat. Terkejut biawak arwah. Arwah orang Jelabu Negeri Sembilan. Buat lemang pandailah-expert. Nasib baik arwah pernah belajar mengayam ketupat semasa sekolah dahulu. Terkial-kial arwah mengayam. Aku membantu arwah. Alhamdulillah, dalam empat jam siap 200 biji ketupat walaupun sebilangan besar aku yang anyam hehehehe.

Ujian berikutnya ialah membuat kuah kacang. Mak suruh arwah masak sebab aku suka kuah kacang. Sekarang anak lelaki aku Uda suka kuah kacang. Uda dari kecik lagi suka menyudu kuah kacang. Arwah surrender. Memang dia tak tahu. Aku lak tak sempat nak ajar. Nasib baik mak tunjuk dan arwah masak. Ok juga lah. Kuah kacang arwah lebih sedap dari aku masak tetapi tak boleh lawan mak punya. Arwah lulus ujian ini.


Ujian kedua selepas bertunang. Arwah diminta menjahit baju yang diberi sendiri dengan leher dijahit jahitan tulang belut. Mak datukkkkkkkk. Rupa-rupanya enteng je bagi arwah. Arwah boleh memotong dan menjahit baju tapi masalah besar ialah untuk menjahit tulang belut. Arwah tercari-cari kawan-kawannya yang mahir menjahit tulang belut. Allah maha kaya. Ada seorang tukang jahit berdekatan rumah sewanya tahu dan mengajar arwah menjahit tulang belut. Lebih memeranjatkan arwah menjahit keseluruhan baju menggunakan jahitan tangan bukannya mesin jahit. Lulus juga ujian ini. Semasa kami di Sabah, arwah mengambil upah menjahit baju kurung tradisional berleherkan tulang belut. Malah di Sabah arwah belajar menjahit jahitan mata lalat dan karipap.

Ujian ketiga, membaca al quran dan berzanji. Arwah boleh membaca al quran tetapi tidak tahu berzanji. Mak pakar dalam berzanji. Arwah belajar berzanji tetapi tidak begitu mahir berlagu. Walau bagaimanapun arwah telah lulus semua ujian yang diberi oleh mak.

Apa yang menyedihkan arwah dan aku ialah menantu-menantu perempuan lain tidak diuji oleh mak. Terima je. Arwah selalu menyebut tentang perkara ini. Aku selalu menyejukkan hatinya yang arwah buat kerana aku bukan mak. Kerana ujian-ujian tu arwah memberi yang terbaik pada aku dan anak-anak. Arwah mahir kerana sayangkan aku. Aku bangga kerana arwah menjadi isteri hampir sempurna.Menantu yang lain......faham-faham je la.

Arwah suka dan rajin memasak, mengurus rumah dan membaca al Quran. Arwah membaca Quran selepas maghrib. Arwah belajar dan mendalami tajwid al-Quran sekali lagi bila kami balik dari Sabah. Arwah satu-satunya murid tua dalam kalangan anak-anak berusia lima hingga enam tahun. Mula-mula arwah ditertawakan oleh jiran sekeliling tetapi lama-kelamaan menjadi ikutan. Itu yang menyenangkan hati arwah sebab ada juga yang mengikutnya dalam membuat perkara baik.


Arwah juga tidak begitu pandai memasak. Aku banyak mengajarnya. Mula-mula masak nasi menggunakan dapur gas, nasi hangit, kering dan jelantah kerana kurang air. arwah biasa menggunakan dapur kayu. aku tak marah tapi makan apa sahaja yang dihidang. Sedap ke tak sedap ke aku makan je. Aku galakkan arwah belajar masak. Kami masak sama-sama. Aku ajar buat laksa johor, belajar buat laksa penang, buat ayam percik dan macam-macam lagi. Aku suka buat ikan sumbat. Bila aku ajak mak dan adik-adik datang makan, aku akan masak ayam percik dan ikan sumbat. Lama- kelamaan arwah mintak aku ajar masakan tu dan akhirnya arwah yang masak ayam percik dan ikan sumbat bila tetamu datang terutama sekali pelajar-pelajar kami. Sebut apa sahaja lauk yang tetamu nak, arwah akan memasaknya. Arwah pakar masak. Sebut apa sahaja beef stesk, chicken chop, spagetti, pasta, mutabak dan lain-lain. Arwah menjadi pakar kerana kami anak beranak suka makan dan kami tidak mampu nak makan di restoran. Jalan mudah ialah arwah dan aku belajar dan masak sendiri. Puas makan beb.

Arwah seorang yang sangat tabah. Umpat keji orang biasanya diluahkan pada ku dan aku sentiasa menasihatkannya lupakan semua itu. Kita buat yang terbaik untuk orang dan untuk diri kita. Arwah menerima nasihatku dan dia tidak pernah peduli lagi apa orang kata, tidak mengharapkan balasan dari mereka yang pernah ditolongnya. Pada arwah dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia. Aku pasti inilah hasil dari ujian-ujian yang dilaluinya semasa menjadi menantu, menjadi isteri, menjadi guru dan menjadi hamba Allah.

Thursday, November 24, 2011

Merekalah sahabat, merekalah teman II

Arwah berkhidmat di SK Air Tawar 2 selama tujuh bulan sebelum bertukar ke SK Melayu Raya Segamat. Mengapa arwah bertukar sehingga hari ini aku tak tahu apa sebabnya. Di Segamat arwah tinggal menyewa bersama guru-guru bujang. Salah seorang bernama Roszana berasal dari Muar. Mereka menjadi rapat. Kami bernikah pada 7 Dis 1985 manakala Roszana dengan Jailani pada 14 Dis 1985. Hubungan terputus bila arwah mengikut aku ke Sabah mulai April 1986. Terputus terus. Bila bertukar ke Muar pada tahun 1 Nov1990 aku tinggal di Taman Guru, Kesang Laut.

Arwah selalu bercerita tentang Roszana yang kami panggil Roza dan arwah bercadang untuk mencarinya di Segamat.Satu hari, juruteknik telekom datang memasang talian telefon dan arwah bertanya kepada juruteknik tersebut sama ada kenal Jailani. Juruteknik tersebut lebih panjang bercerita tentang Jailani. Akhirnya dia beritahu Jailani telah bertukar ke Muar dan memberi nombor telefonnya. Sebaik sahaja selesai pemasangan talian, arwah terus menelefon Roza dan hubungan yang terputus mekar semula. Mereka menjadi kawan, sahabat dan teman suka duka hingga hari ini.

Banyak peristiwa suka duka bersama Roza dan Jailani. Kami mempunyai bilangan anak yang sama seramai lima orang. Seorang perempuan dan empat lelaki. Kami selalu berjalan bersama, bercuti bersama malah anak-anakmereka seperti anak-anak kami. Kami boleh marah, herdik anak-anak mereka dan sebaliknya. Mereka biasa tidur di rumah kami.

Kami pernah menjaga Roza anak-beranak semasa Jailani bertugas di Kuala Lumpur selama dua tahun. Setiap petang kami akan bersiar-siar di Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang. Sering makan malam bersama. Pernah satu hari, ketika bersiar-siar di Tanjung Ketapang aku bermain dengan anak-anak seramai lapan orang ketika itu. Sementara arwah dan Roza duduk dibangku berbual-bual. Anak perempuan Roza memanggil aku abah. Hingga sekarang dia manja dengan kami. Kemesraan arwah dan Roza, kemesraan aku bermain, bergurau dengan anak-anak menarik perhatian sepasang suami isteri cina. Sekian lama memerhati, mereka menghampiri arwah dan Roza. Peringkat awal mereka berbual-bual biasa sahaja tetapi si isteri cina tu tak lepas memandang ke arah aku. Akhirnya si isteri bertanya
Si isteri : Itu lelaki siapa?
Arwah : Saya punya laki.
Si Isteri : Itu budak-budak?
Arwah : Anak-anak lah.
Si isteri : Manyak lah. Awak punya anak ka?
Arwah : Haa lapan orang.
Si isteri : Ini siapa? Kawan?
Arwah : Bukan. Dia punya isteri (menunjuk ke arah aku)
Si isteri : Awak dua-dua isteri? Banyak baik. Tak da gaduh-gaduh?
Arwah : Ye la. Nak gaduh apa bikin. Dia baik, saya baik, laki pun baik.Hidup sama-sama la.
Si isteri : Itu macam ka. Manyak bagus la.
Arwah : Memang bagus ma. Buat kerja sama-sama, makan sama-sama. Tidur lain-lain. Tak bole sama.

Bila pasangan cina tu pergi, arwah dan Roza ketawa terbahak-bahak. Meleleh airmata ketawa bila bercerita pada aku. Cuma aku yang boleh membawa, menghantar Roza dan Jailani tak cemburu dan begitu sebaliknya. Semasa aku berkursus selama empat bulan Jailani lah mengambil dan menghantar arwah ke pusat peperiksaan kerana pada masa itu arwah belum memiliki lesen memandu lagi. Setiap pagi sarapan bersama hingga menimbulkan tandatanya dalam kalangan kawan-kawan Jailani.

Sebaik sahaja arwah ditahan wad, arwah telah sms memberitahu Roza. Dia sms berkali-kali meminta Roza datang segera. Setiap kali Roza dan Jailani datang tahap oksigen stabil di paras 95%. Roza dan Jailani adalah orang yang menemani semasa arwah terbujur di ruang rumah.

Semua tinggal kenangan. Roza dan Jailani bercadang membawa Amal anak bongsu kami bercuti bersama mereka ke Indonesia. Anak sulung kami sebaya dan anak bongsu kami juga sebaya. Mereka tak mahu Amal berasa terlalu sedih dengan kehilangan arwah.

Wednesday, November 23, 2011

Temuduga.....sambung belajar

Arwah selalu menceritakan kisah-kisahnya semasa bersekolah dulu. Dari SK KK, Convent hingga ke SMTD. Arwah berkeinginan untuk menyambung pelajaran. "Nak tebus kegagalan" katanya. Aku benarkan. Sekitar tahun 1996, arwah dapat menyambung pelajaran di ITM Lendu dalam Diploma Pentadbiran Awam secara separuh masa. Semester pertama dan kedua diakhiri dengan CGPA yang melebihi 3. Rezekinya bertambah. Arwah mendapat tawaran untuk memasuki KDPK dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling tetapi mesti melalui sesi temuduga dahulu. Aku pun sedang belajar pada masa itu. Pada masa ini kami sedang mengalami zaman susah. Sangat susah tetapi tekad dan azam menjadikan kami tabah terutama sekali arwah.

Dalam kesibukan tugas, arwah mengambil keputusan untuk pergi menghadiri temuduga di Maktab Perguruan Batu Pahat. Sehingga hari ini aku masih ingat, masih kenang dan arwah mengalirkan air mata bila kami bercerita semula kisah ini. Van kami rosak....bagaimana hendak ke Batu Pahat. Aku berkira-kira meminjam kereta adikku. Pada petang sebelum pergi, PAR sekolah aku ( orang terkaya di kampung) menghulurkan kunci keretanya, " Cikgu guna kereta saya. Ini saja yang dapat saya tolong. Cikgu berdua terlalu baik, selalu tolong saya"

Dengan keretanya, kami pergi ke MPBP. Bila sampai terus ke tempat temuduga. Aku seperti biasa akan meninjau sekeliling MPBP. Arwah selalu komen, " Abang ni macam abah lah. Tak tau duduk diam. Asyik round je" hehehehe. Aku berjalan-jalan dan membaca apa saja yang tertampal di dinding. Tiba-tiba aku terbaca notis dokumen-dokumen yang perlu dibawa dalam temuduga. Mak oiiiiiiiii ada 15 dokumen tetapi arwah cuma membawa lima keping dokumen. Arwah terdiam bila aku beritahunya. Arwah memegang tanganku," Bang, kita balik ye. Banyak sangat yang tak de. Tak dapat pun tak pe. Lain kali kita mohon lagi. Dahlah prestasi rendah, ni banyak sijil yang tak bawak." Aku macam biasa spontan menjawab, " Dah sampai sini, masuk dan berperanglah. Kalah menang kita tak tau." Arwah diam dan mengalir airmatanya. Aku peluk arwah. "Apa saya nak jawab kalau diorang tanya mana sijil-sijil lain" arwah tanya aku. Untuk menenangkan hatinya, "..........kalau sijil-sijil itu yang menyebabkan saya tak layak, saya mohon temuduga ini diberhentikan. Senangkan !" Arwah tersengih. Aku berpesan, " Jangan sekali-kali jawab soalan directly tapi ceritalah apa yang awak buat. Betul tak betul lain cerita. Bercerita bermakna kita buat. Menjawab direct kita memberi fakta." Arwah ikut cakap aku dan menjalani proses temuduga yang agak lama-hampir 45 minit. Keluar dari bilik temuduga arwah tersenyum dan peluk aku, "Terima kasih bang. Malam ni saya upah"

Sebelum ini, LNPT perlu dibawa sama. Ini satu cerita. Pada masa ini LNPT perlu diambil di PPD. Aku minta abang ipar ak
u menguruskannya. Bila aku mengambilnya,abang ipar memberitahuku, " .............. markah prestasi Yani bawah 80. Kalau ikut pengalaman, takkan dapat sambung belajar." Terkedu aku. Arwah seorang guru yang sangat komited. Kami berada di sekolah dari 6.30 pagi hingga 10.00 malam. Hampir setiap hari. Arwah bukan sahaja memangku jawatan Guru Besar, membuat gaji ( masa tu gaji dibuat secara manual dan tidak ada kerani), mengajar malah menjadi jurulatih bola baling, bola jaring dan hoki. Aku redha tapi arwah betul-betul jatuh terduduk. Dia terlalu kecewa dan mengambil keputusan tidak mahu pergi temuduga. Aku memujuk arwah, " Kalau apa yang awak buat tu ikhlas saya pasti Allah akan balas sebaik-baiknya. DIA yang menentukannya. Kita redha dan kita pegi ye." Tiga malam berturut-turut aku membuat solat hajat mengadu, memohon kepadaNya agar dipenuhikan hajat arwah.

Dalam perjalanan balik dari temuduga, arwah tak cukup nafas bercerita apa yang berlaku. Aku sengih dan senyum je lah. Sesekali aku mengusik,"Tu la, awak cepat sangat mengalah.
Sekarang macam mana? Diorang tak tanyapun sijil-sijil lainkan? diorang tak peduli prestasi awak kan? Betul tak saya cakap, CERITA jangan jawab" Hahahahahah aku ketawakannya. "Ye la, ye la saya beri upah double" katanya. Dua minggu selepas temuduga arwah ditawarkan sambung belajar di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka.

Sekarang, arwah belajar serentak di dua tempat. Sepenuh masa di MPPM dan separuh masa di ITM. RezEkinya makin bertambah. Arwah memohon PJJ UKM pada tahun berikutnya. Dapat juga! Tamat kursus di MPPM arwah ditawarkan menyambung sepenuh masa di UPSI. Lumayan betul rezeki arwah. Bermulalah episod perjuangan seorang guru,seorang ibu, seorang penuntut,seoran
g isteri yang benar-benar kental, tabah dan tak kenal putus asa mencari ilmu. Antara tahun 1996 hingga 1999, arwah belajar di tiga institusi yang berlainan secara serentak. Sepenuh masa di UPSI, hujung minggu di ITM dan UKM. Keputusan peperiksaan semester tidak kurang dari 3. Hebat! Malangnya, arwah telah dinasihatkan oleh pentadbiran UPSI untuk menangguhkan pengajiannya di ITM dan UKM kerana arwah melanggar syarat-syarat penajaan. Demi mengelak dari dikenakan tindakan, arwah dengan berat hati menangguhkan pengajian di dua-dua institusi tersebut. Kalau tidak pada tahun 2000 arwah memiliki satu diploma dan dua ijazah serentak.

Arwah menyambung pengajian di peringkat sarjana di UTM dan seterusnya di peringkat Ph.D. Arwah tidak dapat menamatkan pengajian Ph.D. Kami berjanji untuk bersama-sama membentang proposal pada bulan Disember ini dan menghabiskan pengajian pada 2013. Impian ini tidak tercapai. Tetapi arwah telah membuktikan NOR YANI SEORANG GURU, SEORANG PENUNTUT, SEORANG ISTERI, SEORANG IBU YANG BERJIWA KENTAL HINGGA AKHIR HAYATNYA


Tuesday, November 22, 2011

KEM KAUNSELING KELOMPOK BERMULA LAGI

Sekali lagi aku diminta untuk menjadi jurulatih kem kaunseling kelompok penuntut UNIRAZAK Melaka. Siri pertama diadakan di Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang. Aku diminta untuk menjadi jurulatih bagi tiga siri kem. Penat? Memang penat sebab kali ini aku mengendalikannya seorang diri sahaja. Biasanya, aku akan bersama arwah.

Aku dan arwah ada banyak persamaan dan juga perbezaan. Walaupun kami adalah pengamal mazhab behavioris dan gestalt tetapi aku juga mengaplikasikan teori realiti manakala arwah pula menggunakan person-centred. Persamaan dan perbezaan ini sangat berguna dalam mengendalikan kem kaunseling kelompok. Aku akan bertindak secara agresif manakala arwah akan menjadi mediator dan sering kali sebagai healer. Aku akan membuat konfrant dan provokasi yang agresif hingga berlaku konflik. Malah ada peserta yang akan menarik diri, protes dan macam-macam gelagat. Bila keadaan ini berlaku arwah akan menjadi penenang dan banyak melakukan binding. Bila arwah berperanan sebagai provocator, aku akan berperanan sebaliknya.

Kebiasaannya, kami akan membuat analisis awal setiap peserta di peringkat pendaftaran lagi. Kemudian kami akan berbincang mana peserta yang perlu diterokai, mana yang perlu dibimbing, mana yang perlu "dibogelkan" dan yang mana perlu dipupuk agar mereka dapat menjadi seorang guru bimbingan dan kaunseling yang bertanggungjawab. Analisis akan dibuat setiap kali aktiviti selesai untuk memastikan track kami betul. Biasanya kami akan menghabiskan waktu rehat untuk berbincang apa yang perlu dibuat terhadap peserta-peserta. Tapi kali ini aku sorang diri. Analisis aku buat sendiri. Aku jadi provocator dan aku juga jadi healer. Peranan yang sangat bertentangan dan susah. Aku benar-benar patah kaki. Sekarang ini aku terhincut-hincut mencari rentak.

Kem Kaunseling Kelompok membuat arwah "hidup" Arwah akan menghabiskan seluruh masa, jiwa, ilmu, kemahiran dalam kem ini. Arwah cuma rehat bila waktu tidur yang biasanya 4 hingga 5 jam. Selebihnya untuk aktiviti-aktiviti. Tumpuan arwah untuk kem sahaja.

Dalam Kem Kaunseling Kelompok yang lalu (25 hingga 27 Mac 2011), arwah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan terapi air, sesuatu yang baru untuk arwah. Pada peringkat awal arwah menolak kerana tidak pernah belajar dan tidak pernah mengajar. Aku mengajarnya asas-asas terapi air kerana hampir semua peserta adalah perempuan cuma seorang sahaja lelaki. Lebih mudah bagi arwah mengendalikannya. Terapi air dibuat dua sesi. Sesi pertama- terapi air berstruktur manakala sesi kedua terapi air bebas. Aku meminta arwah mengaplikasi teori Psikoanalisa menggunakan teknik perkaitan bebas dan pentafsiran mimpi/makna. Aku juga menyarankan arwah mengaplikasikan teknik-teknik NLP. Arwah berjaya melakukannya dengan baik.Arwah sangat seronok dan mula menunjukkan minat yang mendalam dalam terapi air. Arwah bercadang mengambil slot terapi air sekiranya diberi peluang menjadi jurulatih kem lagi tetapi itulah terapi air pertama dan terakhir arwah

Kali ini aku terpaksa mengambil slot terapi air. Bila aku memberi arahan-arahan, aku teringatkan arwah yang begitu yakin seolah-olah pakar dalam bidang itu walaupun itulah kali pertama dia melakukannya. Aku masih ingat, dalam sesi pertama arwah memberi arahan-arahan dari tepi kolam renang. Dalam sesi kedua, arwah bersama-sama di dalam air, basah lencun dan melakukan terapi menggunakan teknik perkaitan bebas.

Selepas aktiviti, peserta memberi respon yang positif. Mereka mengatakan, aktiviti terapi air berstruktur membuat mereka tenang dan berkeyakinan manakala aktiviti terapi air bebas menjadikan mereka lega dari stress. Arwah berjaya. Malam itu kami ketawa seronok kerana arwah berjaya mengendalikan terapi air dan kami meraikan kejayaan arwah dengan terapi .............. salah satu terapi yang sangat berkesan untuk meraikan kejayaan dan sekali gus mengurangkan stresssssssssssss

Sunday, November 20, 2011

ANTARA BIDAN KAMPUNG DAN DOKTOR

Peristiwa 1
Arwah pernah menjalani pembedahan apendiks di HPSF. Kejadian ini membuat aku terfikir betapa hebatnya bidang kampung, apa kurangnya doktor.

Pada suatu hari, arwah mengalami sakit perut yang amat sangat di bahagian kiri. Arwah kata mungkin gasterik sebab semasa awal remajanya dia pernah mengidap gasterik. Aku nak membawanya ke klinik tetapi dia enggan, sebaliknya dia meminta membawanya berjumpa dengan seorang bidan kampung. To Ginah namanya. Berumur lebih 90 tahun dan bongkok tiga. Sebaik saja berjumpa Tok Ginah, dia suruh arwah baring. Selepas menbaca ayat-ayat suci al-Quran, Tok Ginah kata, "Cepat-cepat bawak ke hospital. Nak pecah dah, nak pecah dah." Aku tanya, "Apa yang nak pecah tok?" Dia jerit, "Bawak je la, taulah apa doktor nak buat. Jangan beri air!"


Aku bergegas ke HPSF terus ke Unit Kecemasan dan Trauma. Penilaian awal oleh HA, kod kuning- tak bahaya- boleh tangguh-tangguh. Jauh lagi nak hilang nyawa agaknya. Punyalah lama tunggu. Datang lagi seorang HA minta GL. Aku jawab, " Hari Ahad bang. Pejabat tak bukak. Hari Isnin baru boleh saya hantar." Jawabnya sinis, " Kalau betul pegawai kerajaan, lain kali simpan GL. Bila sakit senang. Bayar singgit!" Aku dah mula naik angin tapi masih boleh kawal, " Bila boleh jumpa doktor. Isteri saya dah teruk ni." Keras jawabnya, "Sabar la. Orang lain lagi teruk sakit." Dia terus buat kerja konon. Entah apa dicatatnya. Macam sibuk. Muka arwah pucat menahan sakit dan mintak air. Aku terlupa pesan Tok Ginah jangan beri air. Sebaik saja arwah meneguk air, arwah terus muntah. Terbeliak mata HA. Mulut membebel-bebel. Aku naik hantu. Bila aku marah aku selalu guna Bahasa Inggeris Arwah cukup faham. Itu menunjukkan marah aku dah sampai tahap maksima. Bergegas menyorong arwah ke dalam berjumpa doktor. Doktor tanya tentang simptom. Arwah beritahu sakit sebelah kiri dan lain-lain lagi. Doktor arahkan buat ujian air kencing. Keputusannya kencing kotor. Doktor beri pil pelawas kencing dan penahan sakit. Balik ke rumah.

Petang tu aku minta kebenaran hantar isteri muda ke Seremban. Isteri muda datang ke rumah pada hari Sabtu melawat kami. Aku sampai ke rumah dalam jam 8.30 malam. Arwah berpeluh-peluh menahan sakit. Aku bawa ke klinik. Doktor membuat ultrasound dan mendapati apendiksnya bengkak. Katanya walaupun sakit disebelah kiri, ianya petanda awal dan biasanya mengelirukan doktor sebab apendiks di sebelah kanan.

Aku terus bawa arwah ke HPSF sekali lagi bersama laporan doktor. Disebabkan hari Ahad terpaksa berdepan dengan doktor-doktor pelatih. Tidak ada apa yang dilakukan oleh mereka selain memberi pil penahan sakit. Jam 7.00 pagi aku ke hospital dan tanya apa doktor beritahunya. Tak de. Aku beritahu dia sekiranya sampai jam 9.00 pagi, kalau tak ada apa-apa doktor buat aku akan pindahkan ke hospital swasta. Bila doktor pakar datang, dia mengarahkan pembedahan segera dilakukan. Memang sah apendiks arwah dan membengkak, berlaku kebocoran dan dah melekat pada usus. Disebabkan ini arwah lama dalam bilik pembedahan kerana terpaksa membersihkan bahagian dalam abdomen untuk mengelakkan keracunan. Ini lah yang Tok Ginah kata,"Cepat-cepat bawak ke hospital. Nak pecah dah, nak pecah dah."

Peristiwa 2
Anak bongsu kami, Amal, berumur tujuh mengalami sakit perut yang amat sangat. Kata orang Muar, berposah ke hulu ke hilir dalam rumah menahan sakit. Sesekali menangis. Kami bawa ke Hospital Tangkak. Buat ujian air kencing. Sekali lagi doktor kata kencing kotor. Beri ubat yang sama. Kami tak puas hati. Dari hospital terus ke rumah Tok Ginah. Amal disuruh baring. Seperti biasa Tok Ginah membaca ayat-ayat suci al Quran. Tiba-tiba Tok Ginah ketawa melekek-lekek. Kami kehairanan. Arwah bertanya, " Apa hal ni tok? Dalam ketawa Tok Ginah tanya Amal," Berapa lama kau tak berak?" Jawab Amal, "7 hari". Tok Ginah sambil ketawa, " Taik kau keras tersekat kat perut ni. Beketul-ketul keh,keh,keh Tu yang kau sakit. Sakit tak berak kikkikkikkik" Tok Ginah suruh arwah mengambil secawan air masak lalu membaca ayat-ayat suci. Dia menyuruh Amal minum dan menyuruh kami balik cepat. Dalam kereta Amal mula menjerit suruh cepat kerana tak tahan sakit. Aku bawa kereta laju- laju kerana bimbang. Aku nak terus ke hospital tapi Amal suruh balik ke rumah.Sampai sahaja di rumah, Amal terus berlari ke tandas. Sebaik sahaja selesai membuang hajat, Amal keluar sambil tersenyum lebar. "Tak sakit dah" katanya.

Aku selalu menjadikan peristiwa ini sebagai modal untuk pelajar-pelajar ku berfikir. Aku bertugas di Sekolah Menengah Sains. Ramai pelajarku hendak menjadi doktor. Aku minta pelajar ku berfikir kehebatan Tok Ginah yang dapat mengesan apendiks arwah yang hendak pecah dengan membaca ayat suci al Quran berbanding doktor yang berdasarkan simtom. Aku mahu mereka berfikir kehebatan ayat-ayat suci al Quran untuk mengesan penyakit dan mengubat penyakit.Dan akhir sekali aku katakan Tok Ginah seorang bidang kampung lebih hebat dari seorang doktor. "MAKA KAMU PATUT MENJADI SEORANG BIDAN KAMPUNG"

ADUHAIIIIIIIII INSURAN

Suatu hari,anak lelaki kami dimasukan di hospital Kuantan kerana sakit apendiks. Bila sahaja dapat tahu kami terus ke Kuantan. Disebabkan kritikal, doktor telah menelefon untuk mendapatkan kebenaran lisan sebelum melakukan pembedahan. Arwah yang menjawab telah memberi kebenaran tersebut. Setiba kami di hospital lebih kurang jam 7.00 malam mendapati anak kami sedang disorong keluar dari dewan pembedahan. Ingatkan pembedahan telah selesai,rupa-rupanya ditangguhkan kerana ada tiga kes pembedahan nak bersalin. Cuma satu sahaja dewan bedah yang beroperasi. Mula-mula dikatakan sakitnya kritikal tapi rupa-rupanya ada lagi yang lebih kritikal. Kami menunggu dan menunggu dan anak kami mengerang kesakitan. Kami memanggil doktor dan meminta agar pembedahan dipercepatkan kerana kasihankan keadaan anak kami yang semakin teruk. Keadaan menjadi tegang bila doktor memberi pelbagai alasan dan yang paling menyakitkan hati bila doktor kata ianya tidak begitu pasti adakah benar-benar apendiks. Malah kadang-kadang doktor pakar pun boleh salah diagnosis. Aku naik hantu dan menjadikan arwah sebagai contoh. Keadaan yang sama berlaku bila arwah yang sakit apendiks dikatakan kencing kotordan gasterik.Tapi bila doktor pakar membuat pemeriksaan dengan hanya merasa bahagian sakit terus mengarahkan pembedahan segera dilakukan kerana pengalamannya apendiks sudah hampir pecah. Pembedahan dilakukan dari jam 11.00 pagi dan arwah hanya dihantar ke wad pada jam 5.00 petang. Kebiasaannya pembedahan memakan masa satu jam sahaja. Kami juga tidak mahu peristiwa kawan kami yang koma tiga hari disebabkan apendiksnya pecah dan berlaku keracunan kerana lambat dibedah. Setelah bertegang urat dengan doktor kami dibenarkan membawa anak ke hospital swasta dengan syarat menandatangani dokumen-dokumen tertentu dan urus sendiri. Nasib baik kami ada adik angkat di Kuantan dan mereka menguruskan segala-galanya. . Pembedahan dilakukan segera dan apendiksnya telah mempunyai rekahan dan juga telah berlaku kebocoran di tiga tempat. Kos yang perlu ditanggung ialag RM6,000.00. Selepas peristiwa ini kami membeli insuran untuk melindungi kami anak beranak.

Kali pertama menggunakan insuran yang kami beli ialah semasa arwah dimasukkan ke wad di Hospital Putra. Selepas membuat pemeriksaan awal yang kosnya kami bayar, pihak hospital pun menghubungi pihak insuran untuk mendapatkan pengesahan dari syarikat insuran. Masalah mula timbul. Aku mendapat panggilan dari syarikat insuran yang menerangkan semua kos pemeriksaan awal akan ditanggung sendiri. Aku akur kerana sememangnya dahpun aku bayar. Kata wakil tersebut, syarikat hanya akan membayar kos rawatan dan penjagaan di wad sahaja. Semua ujian , x-ray, ct scan dan lain-lain berkaitan dengan diagnostik akan ditanggung oleh kami. Sebelum aku meletup, aku menerangkan secara baik, " ..... before I take this insurance, your agent told me, once warded, the company will pay all the expanses but now you say that I have to pay all the diagnostic charges . What the hell is going on here?" Wakil tu jawab, " We pay only the treatment and ward charges. Thats what stated in the contract" Aku mula naik angin, " Hey boy..........without diagnostic, doctor cant do the treatment. Diagnostic is a part of treatment." Dia masih berkeras dan aku terus membebel dan aku tegaskan, "............ for sure what happen this afternoon, all malaysian will read it in tomorrow's news paper. Your company is a culprit, big liar.........." Kebetulan Dr A sampai dan mendengar apa yang berlaku lalu meminta telefon dan bercakap dengan wakil insuran tersebut," .........this is about life............this is a serius matter.......... you think we bluff you.... bla,bla,bla" Lima belas mint kemudian barulah dapat surat pengesahan tersebut. Dan prosedur perubatan dilakukan segera oleh Dr A dan Dr B. Empat hari kemudian, Dr. A memberitahu aku, seorang lagi pesakitnya menghadapi masalah yang sama dengan aku. Dan syarikat insuran yang sama!

Semalam, dalam perjalanan balik dari Dusun Eco Resort, aku teringat peristiwa ini dan aku cari semula kontrak insuran tersebut. Jelas skop perlindungan meliputi semua perbelanjaan termasuk ujian-ujian diagnostik prahospital dan semasa diwadkan. Mengapa ini berlaku?

Sebagai nasihat , apabila berlaku seperti yang aku alami, sila bawa kontrak perlindungan insuran semasa berada di hospital supaya tidak ditipu secara halus oleh syarikat insuran.

Wednesday, November 16, 2011

APA KATA DOKTOR.....

Hospital Pakar Putra,Melaka
Dua orang doktor pakar merawat arwah. Kedua-duanya baik, lembut dan sangat prihatin. Berdasarkan filem x-ray, Dr. A mengesahkan paru-paru kiri arwah dipenuhi air. Dr. A meminta Dr. B untuk membuat penilaian awal dan Dr. B mengesahkan terdapat ketumbuhan yang agak besar di paru-paru kiri. Dr. B kelihatan resah dan mahu membuat rawatan segera untuk mengeluarkan air tersebut supaya arwah lebih selesa bernafas. Selepas air dikeluarkan, contoh air dihantar ke makmal untuk mengenal pasti sebab keujudan air tersebut. Kedua-dua doktor kelihatan resah setiap kali membuat pemeriksaan harian kerana keputusan yang sepatutnya siap dalam masa dua hari masih tidak kunjung tiba. Bila keputusan diterima pada hari ke empat, Dr A datang dalam keadaan resah dan serba salah. Aku katakan pada Dr A, " You are profesional, We are profesional. Be transparent doc.Is it bad news or good news?" Dr. A duduk dan berkata, " Its bad news. Its cancer" Rasa nak kiamat dunia beb! Arwah menggenggam kuat tanganku. Dia tanya, "What stage doc?" Perlahan suara Dr. A menjawab," Four" Suasana sunyi sepi. Semua terdiam. Dr. A tunduk kemudian bertanya,"Do you have any question?" Kami jawab, "No, Thanks doc."
Sebelah petang Dr. B datang. Juga kelihatan resah. Aku minta Dr. B berikan penjelasan sekali lagi dan dia mengesahkan memang betul jangkaanya sejak hari pertama ketumbuhan itu adalah kanser. Dr. B mengatakan tahap III b. Kanser tahap III b bermaksud sel-sel kanser telah merebak keseluruhan organ tetapi belum merebak ke bahagian lain. Manakala tahap IV telah merebak ke bahagian lain. Kedua-dua tahap merupakan tahap bahaya! Untuk mengesahkan betul itu adalah kanser, Dr B menyarankan arwah menjalani satu lagi biopsy dan CT Scan. Ujian kedua juga mengesahkan ia adalah sel barah manakala CT Scan menunjukkan memang benar sel kenser hanya ada di paru-paru kiri sebesar 5 cm. Dr. B mengatakan rawatan segera perlu dibuat dan rawatan yang dicadangkan ialah kimoterapi. Beliau mencadangkan dibuat di sebuah pusat kanser swasta. Tetapi kos nya agak tinggi iaitu antara RM16,000 hingga RM26,000 setiap pusingan. Arwah memerlukan enam pusingan. Insuran yang aku miliki tidak dapat menampung kos tersebut. Dr.B mencadangkan mendapatkan rawatan lanjutan di HKL kerana arwah pegawai kerajaan dan HKL merupakan antara yang terbaik. Tarikh rawatan di HKL ialah 17 Ogos 2010.

Wijaya International Medical Centre,Petaling Jaya
Temujanji di HKL kira-kira sebulan lagi. Dalam masa yang sama, kami mencari hospital swasta yang rendah kos rawatan. Seorang kawan mencadangkan WIMC dan kami pergi ke sana dengan membawa semua report dan filem x-ray, CT Scan. Dr.C membuat penilaian dan menegaskan perlu membuat rawatan segera. Setelah berbincang mengenai pelan rawatan serta kos kami meminta masa dua hari untuk membuat keputusan. Dr. C mencadangkan dua regim dan aku melayari internet mencari maklumat mengenai kedua-dua regim itu. Dalam masa yang sama aku berbincang dengan syarikat insuran. Dengan simpanan yang ada dan insuran kami bersetuju menjalani rawatan di Wijaya dengan kos sebanyak RM12,000 satu pusingan. Sebelum rawatan biopsy sekali dibuat dan pelan rawatan kedua dibincang. Tiga contoh tisu dihantar tiga makmal untuk pengesahan termasuk ujian EGFR. Rawatan pertama dijalani walaupun keputusan biopsy belum diterima. Keputusan biopsy diterima mengesahkan memang sel kanser. Rawatan kedua diteruskan. Sebelum rawatan ketiga, keputusan EGFR diterima iaitu negatif. Mengikut pelan,rawatan kimoterapi akan dihentikan tetapi arwah tetap mahu meneruskannya hingga selesai semua pusingan. Ketumbuhan mengecut dari 5cm kepada 3 cm. Dr. C mencadangkan rawatan radioterapi sebanyak 25 pusingan. Arwah meminta dibuat di HKL kerana kekangan kewangan.
Dr. C berpesan kepada arwah, " Dont treat yourself as a sick person. Enjoy your life. Eat whatever you want. You can eat meat, satay but in small quantity"

Hospital Kuala Lumpur
Rawatan pertama di Jabatan Onkologi di HKL kali pertama. Kami memberitahu tujuan kami datang dan meminta pandangan Dr D mengenai rawatan yang arwah jalani di Wijaya. Rupa-rupanya Dr. C sangat terkenal dan sangat dihormati oleh doktor-doktor onkologi di HKL. Dr.D bertanya, "What regime did Dr C used". Arwah terangkan," Alimta dan Cisplatin". Dr D menyatakan , " We didnt use alimta. Its too expensive". Dia mencadangkan teruskan rawatan di Wijaya kerana HKL tidak dapat menyediakan Alimta.

Rawatan rutin kali kedua selepas selesai kimoterapi dan rujukan untuk radioterapi. Dr. E menetapkan tarikh untuk rawatan radioterapi sebanyak 12 kali menggunakan teknik konvensional walaupun Dr.C mencadangkan 25 kali menggunakan teknik IMTR. Kami terima alasan-alsan yang diberi. 12 hari arwah duduk di wad HKL.

Rawatan rutin ke tiga hingga keenam. X-ray kami lakukan sendiri di klinik swasta. X-ray menunjukkan terdapat air dalam paru-paru kiri. Tapi bila diajukan kepada Dr. F, Dr D, Dr E jawapan mereka, "Well, you know, your cancer is stage four. It all based on sympthom. Right now its shows that you are ok. So if there is shortness of breath(SOB) and it getting worse, you can go to the nearest hospital. They can do the tapping. We will write a letter and you give it to the doctor there" Hahahahaha senangnya jawapan diorang.

Hopital Pakar Sultanah Fatimah kali pertama
Kami ke sana dalam bulan Mei untuk lakukan tapping walaupun tidak ada simptom SOB. Masuk wad dan esok keluar kerana Dr.G kata," No need to tap because theres no sympthom of SOB and you are ok" Mak oooooooooi senangnya.

Hospital Pakar Sultanah Fatimah kali kedua
Sakit perut seperti gasterik. Subuh Ahad 9 Okt. 2011 hantar arwah ke unit kecemasan dan trauma. Doktor diberitahu arwah merupakan pesakit kanser paru-paru. Rawatan diberikan diberikan dan dikatakan gasterik. Dua botol air dimasukkan dan selepas empat jam arwah disuruh balik.Sepatutnya doktor memberi perhatian serius kerana keujudan asid yang badan pesakit kanser merupakan simptom "amaran" keadaan yang membahayakan pesakit.

Hopital Pakar Sultanah Fatimah kali ketiga
Hari Sabtu 15 Oktober 2011 arwah sesak nafas. Hantar ke unit kecemasan dan trauma. Buku rawatan diberi kepada doktor yang merawat dan pengesahan arwah pesakit kanser paru-paru. Arwah dimasukkan ke wad 10. Dr.H menemubual aku tentang sejarah arwah. Aku beritahu, "Dr, Its all stated in the report. You just read it. No need to ask me. You see, it all stated there in the form and in that book". Ada ke doktor tu jawab," Its a prosedure Pakcik to ask the patient or the waris". Aku jawab," Ayoyoyo doc, I have to answer the same question to different doctors. This is gilllllllaaaaaaa maaaaa." Satu wad diam bila aku meninggikan suara. Rupa-rupanya bila doktor pakar datang Dr H akan memberi penjelasan, " According to her husband................ According to her husband bla bla bla................bukannya based on the report of HKL........" Jadi bila berlaku apa-apa kesilapan semasa rawatan,aku boleh dipersalahkan kerana memberi maklumat yang tidak betul. Citttttttttt.

Ahad 15 Okt 2011 - malam
Dr. H dan Dr I datang untuk melakukan tapping. Enam kali prosedur tersebut dilakukan tetapi tidak ada air yang dapat dikeluarkan. Dr. I meminta kebenaran untuk melakukan effusion/drainning dan keadaan yang sama berlaku. Dr. I memberitahu apa yang berlaku dan berkata, " ....her lung collapesed. Theres no fluid in it" Aku jawab, " Whats your plan? Prove to me the lung is collapesed. I request for CT Scan." Dr. I bercadang membuat ultrasound pada esok hari untuk membuat targetted tapping. Aku tetap meminta CT Scan. Dr. I menyatakan, " We are going for ultrasound tomorrow. If the result still the same, she will go under CT Scan." Aku terus mendesak Dr. I," I request Ct Scan first. You said the lung collapsed. If its true , what are your plan?' Dr. I jawab," If the lung really collapesed, we cant do noting" Alamak, itu jawapan doktor. Terkedu aku. Aku tetap meminta CT Scan. Dr. I selamba menjawab , "If the lung already collapesed, its not urgent. Depends to the radiologist. May be in a week or one month time," Mak datuk, hidup mati tak jadi soal. Tiba-tiba arwah bersuara , "I want senior doctor to do the tapping prosedure right now" Dr. J dipanggil untuk melakukan tapping sekali lagi. Hasil tetap sama.

16 Okt. 2011- pagi
Dr. J menemani arwah untuk ultrasound. Selesai proses ultrasound Dr. J keluar dan aku terus bertanya, "Dr, good news or bad news?" Dr. J replied, " Bad news. She will going for CT Scan." Bila? Jawapan tipikal, "Wait for radiologist to give the date"

17 Okt 2011
Mentor kami datang melawat. Bila diberitahu tentang apa yang berlaku dia terus menelefon Pengarah Hospital. Tarikh CT Scan 18 Okt 2011.

18 Okt 2011
Arwah menjalani CT Scan jam 8.00 pagi. Jam 5.15 petang aku diberitahu keputusannya. Dr K memberitahu yang ketumbuhan telah membesar dari 3cm kepada 13cm. Sel kenser telah merebak ke tulang selangka pertama dan kedua serta terdapat lebih kurang lapan titik di hati dalam keluasan 16cm persegi. Luruh jantung aku. Betul lah, ubatan-ubatan yang digunakan tidak memberi kesan kepada sel kanser tersebut. Aku minta doktor jangan memberitahu arwah sehingga sudah ada pelan rawatan untuk arwah.

19 Okt.2011
Jam 8 pagi aku dipanggil oleh Dr L untuk berbincang mengenai pelan rawatan. Arwah mesti menjalani kimoterapi dan akan dihantar sama ada ke Hospital Sultan Ismail johor Bahru atau HKL. Jam 9 pagi aku dan Dr. L berjumpa arwah dan memberitahu apa yang berlaku dan pelan rawatan. Arwah bersetuju untuk menjalani kimoterapi di Hospital Sultan Ismail.

20 Okt. 2011
Arwah tiba-tiba tidak boleh bernafas. Tiup oksigen diganti dengan topeng oksigen. Malam itu aku dipanggil oleh Dr. K dan kami berbincang. aku membuat keputusan dengan rela hati menandatangani surat perakuan 'no more medical prosedure if anything happen to her". Keadaan arwah sudah memasuki fasa kritikal.

21 Okt 2011
Dr L memanggil aku untuk berbincang. Semua pelan rawatan diberhentikan kerana kandungan oksigen dalam badan arwah tidak stabil. Dr. L serba salah untuk memberitahu aku, " .........theres no hope. Aku menahan sebak. Meleleh air mata aku.Aku diberi dua pilihan "let her be or we give her morphine so she can rest and leave in peace". Aku jawab,' Please give time to think and discuss with our children and her uncle"


22 Okt. 2011
Aku berjumpa dengan Dr L memberitahu keputusan yang kami pilih dan aku juga membuat permintaan, " Dr, I request. Remove the lung and the infected ribs". Dr L terkejut, " Its too drastic. We cant do that." Aku tanya, "Why? We still can survive with one lung" Dr. L menjawab, " I'll discuss with Oncologist on Monday."

Pilihan kami anak-beranak : let her be.
Memberi morfin seperti membunuh arwah kerana arwah akan tidur,penafasan akan stabil tetapi kandung oksigen akan terus menurun dan .............

23 Okt. 2011
Kami redha dengan keputusan yang kami buat. Kami redha dengan pemergiaannya. Al-Fatihah






Monday, November 14, 2011

BILA DAPAT TAHU........

Bila diberitahu keputusan biopsy bahawa arwah mengidap barah paru-paru peringkat IIIb / IV, arwah menggenggam kuat tanganku. Arwah tak menangis. Diam buat seketika. Aku terkejut juga walaupun telah menjangka sesuatu yang buruk kerana doktor kerap bertanya berapa umur anak-anak. Bila aku beritahu 18 hingga 23 tahun, doktor membalas, "mudah dibawa berbincang". Kami tidak bertanya berapa lama jangka hayat arwah. Itu tidak penting. Pengetahuan aku tentang barah agak banyak. Bila doktor pergi arwah menangis dan mengeluh. Aku peluk dan aku katakan " selama ini kita cuma dengar, baca dan tengok orang mati kerana barah. Kita tak pernah nak ambik tahu tentang orang yang sembuh dari barah. Sekarang ni, kita kena belajar macamana nak hidup dengan barah." Dari saat itu arwah sentiasa berpandangan positif dan ceria menghadapi kehidupan sebagai pengidap barah paru-paru. Bahan-bahan mengenai barah aku muat turun dari internet agar arwah lebih memahami tentang barah, rawatan dan fakta-fakta tentang barah. Kawan-kawan banyak membantu.

Arwah menjalani rawatan kimoterapi di hospital swasta sebanyak enam pusingan menggunakan alimta dan cisplatin selang 21 hari setiap rawatan . Kali pertama menjalani rawatan, arwah agak tidak bermaya tetapi rawatan kedua dan seterusnya, arwah seperti biasa. Arwah tidak mengalami kesan sampingan seperti loya, meruam atau gugur rambut. Sebaliknya rambut arwah semakin lebat dan hitam berkilat.

Kawan-kawan kata aku gila, tak sayang bini. Selepas tiga hari menjalani rawatan ketiga, arwah meminta kebenaran untuk memandu
ke rumah anak perempuan kami yang belajar di Kuala Terengganu Aku benarkan kerana aku percaya arwah mampu dan perlu membuktikan pada dirinya bahawa dia mampu melakukannya. Allhamdulillah arwah sampai ke Kuala Terengganu dengan selamat.

Berita buruk kali kedua bila keputusan ujian EGFR menunjukkan cancer cell receptor adalah negatif. Ini bermakna sebarang rawatan tidak memberi kesan kepada sel barah. Kami terima dengan hati terbuka. Pelan rawatan yang telah dipersetujui, rawatan kimoterapi akan dihentikan sekiranya EGFR negatif tetapi arwah tetap mahu meneruskannya. Hasilnya sel barah mengecut dari 5cm kepada 3cm. Satu perkembangan yang baik. Seterusnya doktor mengesyorkan untuk rawatan radioterapi sebanyak 25 pusingan dan menggunakan teknik IMTR dan arwah bersetuju tetapi akan dibuat di HKL kerana kekangan kewangan. Rawatan barah memerlukan kos yang sangat tinggi. Arwah mengomel," Pesakit barah mati bukan kerana barah tetapi kerana kos rawatan yang tinggi- tak semua mampu"

Arwah menjalani rawatan radioterapi di HKL sebanyak 12 pusingan menggunakan teknik konvensional. Doktor memberi alasan tidak menggunakan IMTR. Arwah terima dan sepanjang menjalani rawatan, arwah banyak membantu pesakit-pesakit lain untuk meneruskan hidup mereka. Seperti rawatan kimoterapi, arwah tidak mengalami kesan sampingan. Setiap pagi arwah mengambil pesanan dari pesakit-pesakit lain untuk membeli sarapan, surat khabar diHospimart. Ramai pesakit tidak percaya yang arwah mengidap barah paru-paru peringkat IV.

Arwah sentiasa bersikap positif dan percaya kehidupan ini perlu diteruskan dan dinikmati. Arwah selalu berkata," Tarikh lahir tercatat di surat beranak, tarikh mati hanya Allah yang tahu dan hanya dicatat dalam sijil kematian selepas mati." Arwah tahu jangka hayatnya paling lama kira-kira dua tahun sahaja.




KAWAN-KAWAN DI MALAY GIRLS HOSTEL

Malay Girls Hostel meninggalkan nostalgia yang amat mendalam di hati arwah. Pada Disember 2000 arwah mengajak ke Seremban untuk menjenguk Malay Girls Hostel, tapak SM Convent, SMK Tuanku Durah, MPRM (sekarang SMK Sikamat), Taman Megaways, dan tempat-tempat lain.

Arwah sering bercerita tentang kehidupannya di Malay Girls Hostel. Bercerita tentang kawan-kawannya dan nama yang paling kerap disebut ialah Achai dan Ujang. Arwah kerap kali bercerita tentang kawanya yang tinggal di Peradong (lupa sape lak nama kawan yang sorang ni) Arwah juga mencari kawannya yang bernama Jam. Semasa ke Kuala Klawang arwah mengajak mencari rumah Jam. Bila sampai rumah Jam arwah tak jadi nak berjumpanya. Lain kali katanya.

Arwah kerap membuka album lamanya dan menunjukkan gambar-gambar semasa di Malay Girls Hostel. Terkekek-kekek
arwah ketawa bila menceritakan kenakalan bersama kawan-kawannya. Yang ni mulut becok pokpekpokpek, yang ni daring, yang ni seksi, yang ni suka bukak baju tinggal bra and panty, yang ni ......... besar saiz 40 hahahaha, yang ni dengan yang tu tiap-tiap malam tidur sekelambu dan macam-macam lagi. Cerita penyelia asrama yang tak kawin-kawin (kalau tak silap la) tukang masak yang agak berisi dan becok, merangkak masuk dewan makan nak tengok cerita combat dan lain-lain. Paling seronok bila arwah bercerita tentang mandi. Hostel's Night juga menjadi kenangan arwah. Bila diusik yang arwah mesti menari lah, menyanyilah, arwah malu-malu menafikannya.Arwah sangat-sangat teruja bercerita tentang Malay Girls Hostel. Kerap kali arwah mengatakan tersangat rindukan kawan-kawannya di Malay Girls Hostel. Beberapa bulan sebelum pemergiannya, arwah telah mengasingkan album tersebut dari rak dan menyimpannya di bawah timbunan fail- seolah-olah arwah menyembunyikannya.

Akhirnya arwah dapat bertemu dengan Achai melalui Facebook. Achai telah datang ke rumah berjumpa arwah. Banyak maklumat tentang kawan-kawannya melalui Achai. Puas hati dan hilang rindu katanya. Terima kasih Achai kerana telah memggembirakan arwah sebelum pemergiaannya.

Arwah juga dapat bertemu dengan seorang lagi kawannya (lagi sekali terlupa nama). Pertemuan berlaku di Pusat Sumber IPG Kampus Perempuan Melayu. Pertemuan yang sangat-sangat menggembirakan arwah. Arwah telah bercadang untuk mengadakan reunion di rumah kami. Kata arwah ini mungkin pertemuan mereka kali terakhir. Tapi sayang hajat arwah tidak tercapai.

Sebenarnya mengikut perancangan awal, reunion tersebut dirancang pada 24 September 2011 sempena majlis rumah terbuka Hari Raya dan majlis meraikan perkahwinan anak perempuan . Entah mengapa arwah tidak mahu menjemput mereka ke majlis tersebut. Lain kali katanya.

Akhirnya reunion tetap berlaku pada 24 Oktober 2011 bila Achai dan beberapa kawannya datang untuk ziarah terakhir.

Sunday, November 13, 2011

MEREKALAH KAWAN, MEREKALAH TEMAN.......

Kamarul dan Ida

Kedua-duany
a adalah kawan yang sering berhubung dengan arwah setahun sebelum arwah pergi. Ida adalah kawan serumah, teman sebilik arwah semasa belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Kamarul, suami Ida adalah senior arwah. Kata arwah : terlalu banyak kenangan bersama Ida. Susah senang bersama, kongsi masalah, pernah kongsi duit bila kekeringan,berkongsi makan dan lain-lain lagi.

Selepas tamat pengajian, arwah ke Sabah dan hubungan terputus. Bila balik bertugas di Muar, satu hari (awal tahun 90an) Kamarul dan Ida datang ke rumah. Itulah kali pertama selepas terpisah. Selepas itu arwah tidak pernah lagi berjumpa dengan mereka walaupun tahu tempat tinggal mereka malah kami sering ke Senawang kerana an
ak ke empat bersekolah di SDAR.

Bila arwah mula berjinak-jinak dengan Facebook, arwah dapat berhubung semula dengan Kamarul dan Ida dan hubungan menjadi rapat semula. Sepanjang pertemuan semula dua kali berkunjung ke rumah mereka dan sebaliknya. Pada masa ini arwah telahpun disahkan mengidap barah. Kamarul dan Ida hadir dalam majlis rumah terbuka dan majlis meraikan perkahwinan anak p
erempuan kami. Arwah terharu dan menitiskan air mata bila Kamarul menyatakan "ini majlis anak buah den"

Apabila arwah dimasukkan di HPSF Muar, mereka kerap melawat. Pada malam terakhir, sewaktu pemeriksa
an doktor, arwah memberi tahu dokotor yang dia makan sebanyak sepuluh suap.Ida yang menyuap arwah makan malam itu untuk kali terakhir.

Tiga hari sebelum pemergian, arwah telah menggunakan topeng oksigen dengan tekanan setinggi 15 liter (tekanan maksimum). Kandungan oksigen dalam darah diukur setiap masa. Walaupun tekanan tinggi, kandungan oksigen dalam darah han
ya sekitar 70% hingga 85% sahaja. Tetapi bila Kamarul dan Ida datang, kandungan oksigen dalam badan meningkat 100% dan sepanjang mereka bersama kandungan oksigen konsisten 95% hingga 98%. Arwah sangat-sangat gembira dengan kehadiran mereka. Hajat arwah untuk bertemu Ida dapat juga dipenuhi sebelum pemergiannya.

Mengenang kembali.....

Semasa duduk bersendirian, fikiran merewang masa-masa silam bersama arwah. Dari mula mengenalinya dalam tahun 1982 hingga di saat-saat arwah mengembuskan nafas terakhirnya dalam pelukan.

Bermula dari Disember 2000, arwah sering termenung bila duduk bersendirian. Bila ditanya kenapa temenung arwah mengatakan tidak ada apa-apa yang
dimenungkannya. Satu hari arwah meluahkan rasa hatinya. Arwah merasa rindu- tersangat rindukan saat-saat menjalani kehidupan di Kuala Klawang, Jelebu - tanah kelahirannya dan zaman bersekolah di SK Kuala Klawang. Arwah terkenangkan kawan-kawannya semasa belajar di SK Convent dan SMK Tuanku Durah. Arwah mengeluh sama ada dapat berjumpa atau tidak dengan kawan-kawannya terutama mereka yang tinggal di Malay Girls Hostel.

Arwah mengajak ke tempat-tempat tersebut dan menyatakan puas hati walaupun tidak dapat bertemu dengan kawan-kawannya. Cuma seorang sahaja yang dapat ditemuinya, Hajar yang tinggal di Ujung Pasir.Singgah di warung Mak Hajar, arwah b
erbual panjang dan begitu gembira dapat makan rojak dan capati yang disediakan oleh Mak Hajar. Kali terakhir berjumpa Hajar pada 15 April 2011 tetapi mak Hajar telah tiada. Ini adalah kunjungan dan pertemuan terakhir bersama Hajar. Arwah sempat belajar membuat rojak dari Hajar dan sering membuat rojak untuk kami sekeluarga.

Arwah terus mencari dan mencari sehingga akhir hanyatnya





Friday, November 11, 2011

Al- Fatihah

NOR YANI BINTI AHMAD
09.10.1962 - 23.10.2011

Setelah bertarung melawan barah paru-paru selama satu tahun tiga bulan, akhirnya Mawar Berduri telah kembali kepadaNya pada jam 8.40 malam 23 Oktober 2011. Allahyarhamah sangat tabah dan tidak pernah berputus asa melawan barah walaupun doktor telah mengesahkan tiada harapan sembuh. Allahyarhamah sentiasa ceria dan positif. Allahyarhamah terus bekerja walaupun boleh mengambil cuti kerana barah selama dua tahun. Allahyarhamah seringkali mengucapkan, "Lebih baik saya mati di hadapan pelajar-pelajar saya dari menunggu mati di atas katil." Bagi Allahyarhamah segala-galanya ditentukan oleh Allah. Kepada mereka yang mengenali Allahyarhamah, maafkanlah salah silap dan halalkan makan minum Allahyarhamah ketika bersama. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin